Program kesedaran mengenai penipuan atau scam anjuran Malaysiakini berakhir pada persidangan “Eat Well, Live Well” untuk warga emas, sempena Hari Ibu dan Bapa pada hujung minggu lalu.
Program anjuran Amazing Seniors itu menyaksikan anggota pasukan Kini News Lab menyantuni warga emas dan memberi penerangan menerusi bengkel dan dua ceramah di Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya pada 8 dan 9 Jun.
Acara itu turut menampilkan ceramah oleh mangsa scam, firma pelaburan Philip Capital, dan penerangan oleh pegawai penyiasat kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM Selangor, Vijayan Muneirtenam, sebagai sebahagian daripada kerjasama Malaysiakini dengan aplikasi mudah alih Whoscall dan pihak polis.

PDRM memiliki pangkalan data nombor telefon yang disiasat atau telah dilaporkan digunakan untuk tujuan penipuan.
Pangkalan data ini dikongsi dengan Whoscall untuk membolehkan pengguna aplikasi tersebut menyaring panggilan untuk mengelak daripada ditipu.
“Kami berterima kasih kepada MalaysIakini kerana menjemput Whoscall untuk menyertai acara yang bermakna ini,” kata Man Yong, ketua pemasaran untuk pemilik Whoscall, Gogolook.

Warga emas menjadi sasaran penipu
Anggota makmal Kini News Lab, Nor Natasya Zaffri dan Aidila Razak berkongsi info mereka mengenai scam dan memperkenalkan peserta dengan simulator penipuan dalam talian Kini News Lab yang membolehkan pengguna berpura-pura berinteraksi dengan penipu, untuk mempelajari taktik dan tanda-tanda scam.
Warga emas dan pengunjung turut berpusu-pusu ke gerai Kini News Lab pada program itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Acara lain yang diadakan pada program itu ialah demonstrasi memasak makanan sihat yang disokong oleh Massimo, sesi senaman dan kecergasan seperti Zumba dan pickleball, serta ceramah mengenai topik lain yang bersesuaian untuk warga berusia 50 tahun ke atas.
Program “Eat Well, Live Well” merupakan salah satu persinggahan bagi siri jelajah kesedaran mengenai scam di seluruh negara oleh Kini News Lab yang bermula pada 25 Feb, dan telah mencapai sekurang-kurangnya 1,000 peserta di seluruh Malaysia.

“Kami menghargai ruang dan masa yang disediakan oleh Amazing Seniors untuk berkongsi kesedaran mengenai topik penting ini, memandangkan warga emas sering menjadi sasaran penipuan,” kata Aidila, yang juga editor Laporan Khas Malaysiakini.
Menurutnya, tahun lepas sahaja, sekurang-kurangnya RM1.3 bilion kerugian menerusi kira-kira 30,000 kes penipuan dalam talian, justeru katanya, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.
Bukit Aman juga memaklumkan terdapat peningkatan dalam jumlah warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam tempoh tiga tahun lalu.