Pemuda PAS Selangor mengecam tindakan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana menggunakan masjid untuk program politik di Klang, dengan menganjurkan majlis ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha Isnin lalu.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata sepanduk yang tertera perkataan Umno pada majlis itu bertentangan dengan titah Sultan Selangor supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti atau program politik di masjid atau surau di negeri itu.
"Dewan Pemuda PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno Bahagian Kota Raja yang sewenang-wenangnya memperguna masjid untuk kepentingan program parti mereka dengan menganjurkan Majlis Korban Perdana di Masjid An Naim, Jalan Kebun, Klang.
"Penganjuran bermotif politik ini sangat jelas apabila terpampang perkataan Umno di sepanduk yang direntangkan.
“Hal ini jelas melanggar titah baginda Sultan Selangor berkenaan larangan parti politik untuk berpolitik di masjid," kata Mohamed Sukri dalam satu kenyataan hari ini.

Moamed Sukri berkata sebagai ketua bahagain Umno Kota Raja, Tengku Zafrul sepatutnya cakna tentang etika untuk menjadikan masjid bebas daripada politik.
"Janganlah berselindung disebalik pelaksanaan ibadah korban untuk menyelinap agenda politik ke dalam institusi masjid.
“Hormati titah Sultan Selangor dan arahan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini," tegasnya.
'Jangan guna masjid untuk pecahbelahkan rakyat'
Pada Isnin lalu, Zafrul, yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memaklumkan sebanyak 47 ekor lembu telah dikorbankan pada majlis ibadah korban di masjid berkenaan.
“Saya lewat sikit sampai, sempat sembelih dua ekor *(lembu) saja,” tulisnya di Facebook.
Majlis Agama Islam Selangor (Mais)sebelum ini tidak memebnarkan sebarang aktiviti berunsur politik di masjid mahupun surau di negeri itu.
Sebarang tindakan yang bersifat menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan Mais boleh didakwa mengikut Seksyen 12 (a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Mohamed Sukri turut menggesa semua pihak untuk berpolitik secara matang dan sejahtera.
“Masjid perlu dijadikan medan untuk masyarakat bersatu-padu tanpa mengira latar belakang parti, kaum mahupun taraf kehidupan.
“Jangan biarkan budaya politik sempit yang gemar menggunakan kesempatan ini terus memecah-belahkan rakyat,” ujarnya.
Malaysiakini telah menghubungi Tengku Zafrul untuk mendapatkan komen.
