Ketua Hakim Malaya: Majlis Raja-Raja tolak calon pilihan PM
Majlis Raja-Raja - dalam satu langkah yang jarang berlaku - telah menolak calon pilihan kerajaan untuk jawatan Ketua Hakim Malaya, demikian menurut laporan Straits Times Singapura hari ini.
Akhbar itu melaporkan bahawa Majlis Raja-Raja yang bersidang bulan lalu telah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang semula pemilihan calon bagi jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman itu.
Jawatan tersebut kosong sejak tujuh bulan lalu selepas penyandangnya, Datuk Siti Norma Yaakob - wanita pertama memegang jawatan tersebut, bersara awal tahun ini.
Menurut Straits Times , kesemua lapan hakim Mahkamah Persekutuan layak dilantik memegang jawatan tersebut. Bagaimanapun, jawatan tersebut juga boleh diisi oleh seorang hakim sama ada dari Mahkamah Tinggi ataupun Mahkamah Rayuan.
Akhbar tersebut memetik sumber-sumber sebagai berkata, wujud prihatinan mengapa calon berkenaan dipilih sedangkan ada tiga lagi hakim yang lebih kanan. Akhbar itu bagaimanapun tidak menama calon pilihan Abdullah itu.
Wujudkan kekhuatiran di kalangan pengamal perundangan mengenai hakim-hakim yang lebih baru dalam perkhidmatan kehakiman dilantik memegang jawatan lebih tinggi mengatasi rakan-rakan mereka yang lebih kanan.
Jawatan penting
Antara hakim kanan yang tidak mendapat kenaikan pangkat sejak kebelakangan ini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram.
Straits Times melaporkan, keengganan Majlis Raja-Raja untuk mengesahkan calon pilihan Abdullah itu mungkin mencetuskan masalah antara pihak istana dengan kerajaan.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pandangan Majlis Raja-Raja diminta dalam hal-hal berhubung perlantikan jawatan penting dalam kerajaan seperti pemilihan jawatan tinggi dalam bidang kehakiman.
Jarang sekali Majlis Raja-Raja menolak calon pilihan Perdana Menteri yang diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Hakim Negara.
Straits Times melaporkan, Abdullah dipercayai telah mengadakan pertemuan dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, salah seorang anggota kanan Majlis Raja-Raja, berhubung perkara tersebut.
Sultan Azlan Shah pernah menjadi Ketua Hakim Negara dalam tahun 80-an - jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, yang kini dikenali sebagai Ketua Hakim Negara.
Enggan ulas
Ketika ditemui pemberita, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim enggan mengulas mengenainya.
Katanya, semua pelantikan dalam badan kehakiman adalah sulit dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Beliau hanya berkata, kekosongan jawatan tersebut akan diisi sebelum hujung tahun ini.
Sementara itu, jawatan Presiden Mahkamah Rayuan - jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman - juga kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Malek Ahmad dua bulan lalu.
Ahmad Fairuz juga dijadualkan bersara Oktober ini. Berita asal