Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Kabinet lulus rancangan keluarkan lesen, kawal media sosial
Diterbitkan:  Jun 24, 2024 3:47 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Rancangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen platform media sosial dilaporkan dalam peringkat akhir dan telah mendapat persetujuan kabinet.

Ini termasuk mengenakan kod kandungan selain platform platform media sosial diwajibkan mempunyai peraturan berkaitan kandungan politik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika mengumumkan perkara itu pada Nov tahun lalu, berkata perkara itu dilihat wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial memahami dan mematuhi aspek perundangan negara.

Memetik sumber, The Strait Times berkata kabinet telah bersetuju mengenai pengeluaran lesen berkenaan pada April lalu.

Bagaimanapun, pengumuman yang dijadual akan dibuat pada Julai ini dilaporkan ditangguhkan sementara menunggu maklum balas daripada pemain industri.

Laporan itu memetik seorang eksekutif industri yang tidak dinamakan sebagai berkata ia juga akan mengambil masa berbulan-bulan untuk platform utama mewujudkan operasi secara rasmi di Malaysia.

Sementara itu, sumber lain yang dipetik dalam laporan itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai peraturan kandungan semasa sesi taklimat yang mereka hadiri.

Ini termasuk tindakan pencegahan untuk mengelakkan berlaku pelanggaran undang-undang, yang dibantah pemilik platform dan kumpulan masyarakat sivil.

Cadangan lain termasuk mewajibkan platform media sosial membuka pengawasan kandungan dan algoritma untuk diaudit, serta menghapuskan kandungan yang tidak sesuai.

Pada masa ini MCMC telah mengeluarkan notis untuk penghapusan kandungan kepada platform media sosial.

Dalam kes di Facebook, hantaran yang ditandakan oleh MCMC tidak akan dapat dilihat oleh pengguna Malaysia, walaupun ia tidak melanggar peraturan platform itu sendiri.

Sementara itu, TikTok mendedahkan antara Jun hingga Dis 2023, kerajaan Malaysia membuat permintaan alih keluar tertinggi ke platform itu.

Malaysia membuat sebanyak 1,862 permintaan, diikuti Australia sebanyak 651 permintaan.

MCMC mempertahankan tindakannya pada Disember lalu, dengan mengatakan ia bertujuan untuk melindungi pengguna media sosial di negara ini.

Suruhanjaya itu berkata 70 peratus daripada lebih 25,000 permintaan untuk menghapus kandungan pada 2023 adalah mengenai penipuan dan judi dalam talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS