Kemerosotan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama mungkin disebabkan sumpah Mahsuri yang masih kuat, kata bekas menteri, Zaid Ibrahim.
Dia berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau pilihan pelancong Islam.
Zaid berkata ia sukar dilaksanakan kerana pelancong Islam memiliki banyak pilihan lain seperti Riyadh, Dubai, Istanbul, Medan, Hatyai, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
"Hanya satu pilihan lain ialah mereplikasi Langkawi menjadi seperti Bali dan Phuket. Tetapi Madani tidak akan menerima idea ini juga.
"Nampaknya Langkawi akan merosot perlahan-lahan tetapi pasti, kerana sumpahan Mahsuri masih kuat," katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Terdahulu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa Langkawi akan diposisikan sebagai pulau pilihan pelancong Islam, kata timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya.
Langkah itu bagi membolehkan ia bersaing dengan destinasi pelancongan lain di negara jiran.
Khairul Firdaus berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan sektor pelancongan 'niche' memandangkan ketika ini Langkawi sukar bersaing dengan pulau di negara jiran.
"Oleh itu, kita posisikan Langkawi sebagai pulau pilihan pelancong Muslim, supaya lebih ke arah kekeluargaan, lebih ke arah kerohanian," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun Zaid berkata, Langkawi tidak perlu diposisikan sebegitu, sebaliknya perlu dijadikan pulau bebas cukai sepenuhnya untuk merancakkan kembali sektor pelancongan.
Ini kerana katanya pelancong beragama Islam amat suka membeli belah jika melancong ke sesuatu destinasi.
"Mereka suka membeli-belah semua cukai ke atas kosmetik halal, pakaian, kereta, tekstil, barangan sukan, rokok, dan semua jenis bahan makanan harus dihapuskan, dan pelancong harus dibenarkan membawa pulang produk ini.
"Orang Islam suka berbelanja. Jadikan Langkawi syurga membeli-belah tidak seperti tempat lain. Ini mungkin berkesan. Bagaimanapun, kerajaan ini tidak akan melakukan ini.
"Kedai-kedai bebas cukai di Langkawi pilihan Muslim tidak akan lagi menjual alkohol. Menteri pelancongan dan DAP akan membantah dasar ini," katanya lagi.
