Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTF: Syarikat pelancongan rugi RM3,600 bagi setiap bas, setiap bulan
Diterbitkan:  Jun 25, 2024 7:30 AM
Dikemaskini: 11:30 PM

Syarikat bas persiaran menanggung kerugian kira-kira RM3,600 sebulan bagi setiap bas yang dikendalikan mereka, menurut Gabungan Persatuan-Persatuan Pelancongan Malaysia (MTF).

Presiden MTF Tan Kok Liang berkata kerugian itu susulan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel, menyebabkan kenaikan harga sebanyak RM1.20 seliter di stesen minyak.

Pada masa sama, pengendali van dan bas persiaran tidak termasuk dalam mekanisme lain subsidi bersasar untuk bahan api itu.

"Ini bukan soal mengalihkan kos tambahan yang ditanggung kepada pelancong, tetapi untuk meneruskan aturan pakej pelancongan yang telah dimeterai untuk enam hingga sembilan bulan akan datang.

"Perniagaan pelancongan membabitkan hubungan dan muhibah, dan perlu diingat sejumlah destinasi pelancongan utama ini mudah terkesan dengan peningkatan harga, terutama pasaran China, India dan Asean," katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru, MTF menggesa kerajaan memberikan sekurang-kurangnya 3,000 liter diesel bersubsidi bagi setiap kenderaan untuk setiap bulan, sehingga 31 Mac 2025.

Langkah alternatif yang boleh diambil adalah mengembalikan harga diesel kepada RM2.15 seliter sehingga tarikh itu bagi memberi masa kepada syarikat untuk menyesuaikan diri dengan struktur harga yang baru, katanya lagi.

Jika tidak, kata Tan lagi, syarikat pelancongan berisiko menanggung kerugian lebih RM100 juta dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Ekosistem pelancongan merangkumi pelbagai penyedia perkhidmatan dan orang tengah. Akhirnya, pihak yang menanggung liabiliti kontraktual yang perlu menanggung peningkatan kos. Misalnya, acara insentif korporat di Malaysia telah dirancang setahun lebih awal.

"Baru-baru ini, syarikat yang mengendali acara insentif antarabangsa yang melibatkan 10,000 orang selama enam hari perlu menyerap kos tambahan sebanyak RM300,000 kerana pengandali bas enggan berkompromi," katanya lagi.

Subsidi bersasar bagi diesel dilaksanakan mulai 10 Jun lalu, dengan harga runcit bahan api itu meningkat daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

Pemilik kenderaan diesel peribadi boleh memohon bantuan tunai RM200 sebulan, manakala pemilik kenderaan komersial diberi kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyatakan langkah itu akan memberi penjimatan RM4 bilion kepada kerajaan.

Pada 18 Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kenaikan harga tambang pengangkutan yang dikenakan agensi pelancongan dan bas penumpang Singapura membuktikan penyasaran subsidi bahan api itu wajar diteruskan.

Ia menunjukkan sistem subsidi yang digunapakai sebelum ini telah memberi manfaat kepada pihak luar, katanya.

Namun beberapa pihak dalam industri seperti pengendali bas persiaran dan perkhidmatan trak tunda meminta kerajaan agar membuat penilaian semula apabila mereka tidak tersenarai dalam skim subsidi yang baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS