Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lebih Hamas dari Hamas' - Adakah PM bohong, soal Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 28, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyoal jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbohong kepada parlimen berhubung isu penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Menurut ahli parlimen Pagoh itu, Anwar pada Selasa memberitahu Dewan Rakyat bahawa Hamas tidak melihat sebarang isu dalam penjualan kepentingan MAHB kepada GIP.

GIP dijangka akan diambil alih oleh Blackrock, firma berpangkalan di AS yang didakwa membiayai Israel.

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin pada hari berikutnya Hamas dalam satu kenyataan menyebut hal sebaliknya.

Anwar bertemu pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Qatar.

"Anwar sebut di parlimen siapa yang tolak penjualan saham MAHB kepada GIP lebih Hamas daripada Hamas. Dia kata Hamas tak ada masalah pun.

"Selepas itu Hamas keluar kenyataan menyokong semua tindakan memboikot Israel.

"Adakah perdana menteri berbohong di parlimen," soal Muhyiddin pada hantaran di Facebook.

Kontroversi saham MAHB tercetus pada 15 Mei, apabila Khazanah Nasional Berhad mengumumkan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP - melalui GIP Aurea Pte Ltd - akan membentuk konsortium untuk mengambil alih saham syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas didapati Blackrock, sebuah syarikat yang disifatkan berkait dengan Israel sedang mengambil alih GIP.

Anwar sejak itu mempertahankan keputusan itu, berkata ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan membatalkan hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

Dia juga memberitahu parlimen pada Selasa bahawa walaupun kedengaran bagus untuk membatalkan semua perjanjian dengan syarikat berkaitan Israel, langkah sedemikian adalah tidak realistik.

Menurut hansard Dewan Rakyat, perdana menteri berkata perjanjian MAHB tidak pernah disebut oleh pemimpin Hamas ketika dia mengadakan pertemuan dengan mereka baru-baru ini.

"Jadi bunyi sedaplah, bagi orang dengar seronok, kita ini hebat, pejuang tapi sebenarnya tidak realistik.

"Saya bincang dengan pimpinan Hamas, (isu ini) tidak berbangkit pun.

"Ini lebih Hamas daripada Hamas. Ini jadi masalah kita," kata Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS