Ahmad Fairuz: PM tidak terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja

Andrew Ong        

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari berkata Perdana Menteri tidak terikat kepada pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Beliau memberitahu demikian ketika ditanya mengenai laporan yang mendakwa Majlis Raja-Raja telah menolak calon pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya (CJM).

Ahmad Fairuz berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri berbincang dengan beliau (mengenai pelantikan seumpama itu) manakala Yang di-Pertuan Agong membincangkannya dengan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, menurut beliau, kata putus mengenainya tetap terletak di tangan Perdana Menteri kerana Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Ketua Hakim Negara memberitahu pemberita demikian ketika ditemui di majlis mengangkat sumpah pesuruhjaya kehakiman baru di Putrajaya.

Ahmad Fairuz bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada benar Majlis Raja-Raja telah menolak calon pilihan Abdullah.

"Perdana Menteri yang menyerahkan (nama-nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong), bukan saya," katanya sambil menambah beberapa nama telah dicadangkan untuk mengisi jawatan tersebut yang kosong sejak Januari lalu.

Punca masalah

Ketua Hakim Negara itu mengulangi kenyataannya minggu lalu bahawa perkara itu tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan beliau tidak tahu mengenai urusan antara Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agung.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pandangan Majlis Raja-Raja diminta berhubung pelantikan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Akhbar Straits Times Singapura melaporkan minggu lalu bahawa penolakan calon pilihan Abdullah oleh Majlis Raja-Raja itu mungkin mencetuskan masalah antara kerajaan dan pihak istana.

Laporan itu memetik satu sumber yang menyatakan timbul persoalan mengenai mengapa Abdullah memilih calon tersebut sedangkan terdapat lebih ramai lagi hakim yang lebih kanan daripadanya. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In