Veteran DAP Lim Kit Siang menolak dakwaan pengarang Romen Bose bahawa dia cuba "membina semula penduduk Cina" semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018.
Bose membuat dakwaan itu dalam bukunya bertajuk Shattered Hopes yang dilancarkan bulan lalu.
“Bekas perunding politik Najib Razak, Bose mengarut apabila dia mendakwa saya cuba ‘membina semula penduduk Cina’ semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan berkata usaha saya itu ‘agak berjaya’.
"Saya belum baca buku terbaru Bose, Shattered Hope tetapi dia tidak sepatutnya menulis tanpa fakta," kata Lim dalam satu kenyataan.

Dalam buku itu, antara lain, Bose mendakwa Polis Cawangan Khas memantau beberapa pemimpin DAP, termasuk Lim, dengan menyatakan bahawa mereka sedang "membina semula penduduk Cina".
Dia juga mendakwa ketua polis negara ketika itu Abdul Hamid Bador sering melawat perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memaklumkan mengenai aktiviti pemimpin PH.
Pada 24 Jun, The Star melaporkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menolak dakwaan Bose secara terang-terangan.
"Hanya satu jawapan, sampah," kata menteri pengangkutan itu.
Dalam nada sama, Lim berkata Loke betul dalam menolak dakwaan Bose pada Jun lalu.

"Pemikiran seumpama itu tidak pernah saya bayangkan pun, dan saya tidak tahu apa yang dia cakap bahawa usaha saya 'agak berjaya'.
“DAP kini di tangan pemimpin yang baik dan sejak saya bersara dari politik pada Mac 2022, tumpuan saya hanya berkisar tentang masa lampau dan masa depan umat manusia,” kata bekas ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, merujuk kepada lawatannya ke beberapa tempat termasuk ke Lembah Bujang di Kedah dan China.
Dalam buku itu, Bose juga mendakwa bahawa walaupun Mahathir melantik ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga anak kepada Kit Siang untuk menerajui kementerian kewangan, namun perdana menteri melucutkan kuasa kementeriannya ke atas GLC untuk mengekalkan hegemoni Melayu.
