Paling Popular
Terkini

Bismillah, pertamanya kami merafak setinggi kesyukuran kepada  Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmatnya Yadim dan institusi agama  yang lain, bawah kepimpinan Yang Berhormat Mohd  Naim Mokhtar, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal  Agama) diberi kekuatan dan semangat untuk menzahirkan sokongan dan  dukungan dalam usaha mempertahankan kedudukan dan martabat agama  Islam sebagai asas pegangan yang jitu dan kukuh dalam masyarakat Islam  hari ini. 

Yadim di peringkat pusat dan negeri termasuk entiti dakwah Yadim  yang lain iaitu Majlis Amal Islami Malaysia (Maim), Nadwah Ulama Dan  Ilmuwan Yadim (Nuim) serta Majlis Wanita Islam Yadim (Mawim) memberi  sokongan sepenuhnya kepada Rang Undang Undang (RUU) Mufti   (Wilayah Persekutuan) sebagai teras perpaduan umat Islam di negara  Malaysia terutama melalui perkara empat yang mentakrifkan Ahlus Sunnah Wal  Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, fekah Mazhab Syafie dengan meraikan tiga Mazhab yang lain, dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid. 

Dalam kami meneliti petikan kenyataan Sahibus Samahah Mufti  Pahang, Prof Asmadi Mohamed Naim, pihak kami menyokong  bahawa Rang Undang- Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan terutama pada perkara 4 tersebut mesti diberi sokongan sepenuhnya oleh semua umat  Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. 

Beliau menyatakan  bahawasanya, RUU tersebut sangat relevan dan penting minimum kerana tiga perkara iaitu:

(a) Semangat Persekutuan yang memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai Institusi yang menaungi Agama Islam di negara ini, sebagaimana  perkara ini pernah ditegaskan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku pengerusi Majlis Kebangsaan  Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang lepas ketika menyampaikan titah baginda  pada 6 Mac 2023 sempena Mesyuarat MKI kali ke-69. Begitu juga, dari sudut  MKI, keputusan muzakarah MKI kali ke-106 pada tahun 2014 pada tarikh 21  hingga 22 Oktober 2024 memberi indikasi jelas bahawa Ahlus Sunnah  Wal Jamaah itu adalah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, sebagaimana  perkara ini ditegaskan sekali lagi dalam keputusan Jawatankuasa  Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam  Malaysia kali ke-56 pada 20 Mei 2022 dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali  ke-265 pada 21 dan 22 Feb 2024 telah bersetuju dan memperkenankan  keputusan tersebut.  

(b) Al-Asyairah (sebagaimana Al-Maturidiyyah juga secara samping-menyamping) merupakan sebuah aliran zaman-berzaman di Malaysia dan  paling terbuka dan fleksibel dengan warisan, adat istiadat dan amalan  majoriti umat Islam di negara ini baik dari kalangan rakyat marhaen atau  bangsawan yang menjadi identiti dan keunikan umat Islam. Banyak amalan  tradisi raja-raja Melayu seperti bacaan yasin dan tahlil dibenarkan kerana  kesederhanaan aliran ini. Aliran ini juga tidak jumud dan tiada juga taqiyyah.  

(c) Al-Asyairah (sebagaimana Al-Maturidiyyah juga) sebuah aliran yang  tidak terlibat langsung dengan usul ektrimisme dan mampu mengekang  fahaman-fahaman radikal di negara ini. Ia sekali gus dapat menangkis  ekstremisme seumpama kes di Ulu Tiram, Johor yang sanggup membunuh  sesama Muslim. 

Sokongan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) ia selari dengan konsep  perpaduan umat Islam pada dasar Ahlus Sunnah Wal Jamaah melalui aliran  Al-Asyairah dari sudut aqidah dengan saranan tokoh-tokoh besar Islam  dalam negara mahupun luar negara seperti Syeikh Abdullah Fahim, Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri kelima dan juga tokoh  ilmuwan dunia al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. 

Hal ini bertujuan bagi membentuk metafora perpaduan yang seimbang dalam  pengamalan agama Islam di negara Malaysia. 

Yadim sangat komited Melestari Gerakan Dakwah dan memperkasa  pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, supaya masyarakat Islam dalam  negara terus subur dengan budaya ilmu dan pengamalan dalam kehidupan  seharian menepati acuan gagasan Malaysia Madani yang dibawa kerajaan perpaduan hari ini.


BASHIR MOHAMED AL-AZHARI ialah pengerusi Nadwah Ulama Dan Ilmuwan Yadim (Nuim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS