Beberapa keputusan yang dibuat kerajaan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu menjadi 'bola tanggung' kepada pihak lawan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi.
Puad berkata demikian mengulas kekalahan Gabungan Perpaduan pada PRK Sungai Bakap semalam.
"Terima sahajalah kekalahan di Sg Bakap. Jangan banyak alasan dan formula kenapa kalah. Rakyat tidak puas hati. Trust deficit datang lagi.
"Kejayaan di Kuala Kubu Bharu tidak bertahan lama. Beberapa keputusan dan tindak-tanduk kerajaan selepas PRK KKB jadi bola tanggung lawan.
"Jangan cepat lupa daratan selepas menang di KKB. Jangan cepat buat kejutan. Jangan abaikan kekhuatiran rakyat. Gugur saja mereka yang tidak berprestasi," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
PRK Kuala Kubu Bharu pada Mei lalu menyaksikan PH menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 3,869 undi.
Bagaimanapun kejayaan Gabungan perpaduan tidak bertahan lama apabila tewas kepada PN pada PRK Sungai Bakap yang berlangsung semalam.
Keputusan itu menyaksikan PN mempertahankan kerusi itu menerusi calonnya, Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.
Analisis sepintas lalu menunjukkan peratusan undi dimenangi PN meningkat daripada 52.7 peratus pada pilihan raya negeri tahun lalu kepada 58.6 peratus pada PRK kali ini.
Sebaliknya, undi PH merosot daripada 47.3 peratus kepada 41.4 peratus.
Meskipun tidak menghuraikan tindak-tanduk kerajaan yang membawa kepada kekalahan di Sungai Bakap, Puad mengaitkannya dengan sokongan Melayu dan kes membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

"Pada ahli Umno dan sympathizers Najib, selagi dia dinafikan hak dan perbicaraan adil, mereka akan bertawakuf. Sokongan Melayu tidak akan pulih," katanya.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakima berhubung titah adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di penjara Kajang berhubung kes rasuah SRC International.
Dia sebelum ini memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman selepas Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
