Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keldai akaun terciduk boleh mendekam 7 tahun di penjara
Diterbitkan:  Jul 9, 2024 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Kerajaan membentangkan pindaan undang-undang yang bertujuan untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas penipu dan keldai akaun iaitu orang yang menyewa atau menjual akses akaun bank mereka kepada penipu (scammer).

Keldai akaun menjadi salah satu masalah utama yang dihadapi oleh pihak berkuasa negara dalam usaha mereka membanteras kegiatan penipuan dalam talian.

Pindaan itu secara khusus akan menjenayahkan empat kesalahan, iaitu

  • Seksyen 424A - Memiliki atau mengawal akaun bank atau instrumen pembayaran orang lain.

  • Seksyen 424B - Memberi orang lain kawalan ke atas akaun bank atau instrumen pembayaran anda.

  • Seksyen 424C(1) - Transaksi yang menyalahi undang-undang menggunakan akaun sendiri

  • Seksyen 424C(2) - Transaksi yang menyalahi undang-undang menggunakan akaun orang lain.

Bagi keldai akaun, Seksyen 424B akan menghukum mereka dengan denda antara RM10,000 hingga RM100,000, atau penjara antara satu hingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada masa ini seseorang yang menyewakan atau menjual akaun mereka kepada pihak lain boleh didakwa mengikut kesalahan yang berbeza seperti menipu atau bersubahat dengan jenayah.

Jika ditangkap bukan saja akaun bank mereka ditutup malah nama individu terbabit disenaraihitamkan daripada membuka akaun lain.

Sementara itu, hukuman bagi penipu yang dicadangkan dalam pindaan tersebut ialah:

  • 424A - Denda antara RM5,000 dan RM50,000, atau penjara antara enam bulan dan lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

  • 424C(1) - Denda antara RM10,000 dan RM100,000, atau penjara antara tiga hingga 10 tahun.

  • 424C(2) - Denda antara RM10,000 dan RM150,000, atau penjara antara tiga hingga 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata rang undang-undang itu akan dibahaskan dalam sidang parlimen yang sedang berlangsung.


PERMAINAN: Bolehkah anda terlepas daripada scam dalam talian?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS