Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG tolak permohonan maaf Isham Jalil, prosiding hina mahkamah diteruskan
Diterbitkan:  Jul 10, 2024 11:45 AM
Dikemaskini: 4:44 AM

Peguam Negara (AG) Ahmad Terrirudin Mohd Salleh telah menolak tawaran permohonan maaf tanpa syarat bekas ahli majlis tertinggi Umno, Isham Jalil untuk menyelesaikan kes menghina mahkamah yang dikenakan terhadapnya.

Sehubungan itu, mahkamah jenayah menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar permohonan komital pendakwaan terhadap Isham berhubung kenyataannya yang didakwa dikaitkan dengan kes 1MDB dan SRC International bekas perdana menteri Najib Razak.

Isham boleh dihukum penjara atau denda jika didapati bersalah atas dakwaan kenyataannya yang dibuat semasa temu bual bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa”, yang disiarkan di laman Facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.

Keputusan penolakan Peguam Negara terhadap surat representasi Isham yang menawarkan permohonan maaf itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam pagi ini.

“Peguam Negara telah menolak surat representasi oleh Isham, kami memohon perbicaraan penuh.

"Kami juga telah menyerahkan kertas kausa kepada responden," kata timbalan pendakwa raya itu kepada Hakim Noorin Badaruddin.

Hakim kemudian menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar merit prosiding menghina Isham, yang diwakili peguam Azhar Azizan Harun.

Mahkamah turut menetapkan 25 September ini untuk pengurusan kes.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil yang didakwa menghina mahkamah berhubung kenyataan mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

”Representasi dikemukakan pemohon (Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil) ditolak oleh AGC. Kami mohon untuk mahkamah menetapkan tarikh pendengaran kes,” kata Mohamad Mustaffa yang turut dibantu TPR Ahmad Akram Gharib.

Representasi itu dihantar kepada AGC pada 25 Mac lepas berkaitan permohonan maaf secara terbuka yang akan dibuat Isham terhadap badan kehakiman.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Isham.

Pada 4 Mac lepas mahkamah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham.

Peguam Negara dalam permohonan yang difailkan pada 28 Dis tahun lepas, turut memohon agar mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham telah mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan kepada mahkamah dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa? yang disiarkan di laman Facebook The Malaya Post pada 30 Sept tahun lepas.

Peguam Negara mendakwa dalam temu bual itu, Isham telah mempersoal proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International serta 1MDB.

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan yang diucapkan oleh Isham telah mengaibkan Badan Kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS