Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan bahawa dia tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

“Bukan menjadi hasrat saya menuding jari maupun melindungi siapa-siapa jauh lagi mereka yang bersalah.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan menjurus kepada mana-mana individu tertentu bersalah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya tidak kira berpangkat menteri, timbalan menteri pengurusan tertinggi ataupun siapa-siapa sekalipun.

“Ini komitmen dan iltizam kita dan kita telah buktikan ikhtizam itu dengan melaksanakan langkah-langkah secara terus dan menjawab kepada pihak awam. Tetapi, jangan pula kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya.

Wan Suraya Wan Mohd Radzi

Sim berkata demikian ketika capan penggulungan mengenai Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada LKAN 2/2024 mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan, selepas syarikat kerajaan itu gagal dalam auditnya.

“Kita mengambil langkah yang tidak pernah diambil sebelum ini, yakni dalam masa 24 jam melapor kepada SPRM, yakni untuk membuat audit bebas, audit pihak ketiga oleh juruaudit professional ke atas agensi ini,” katanya.

Dalam pada itu, PAC pula mendedahkan bahawa HRD Corp mengutip lebih RM3 bilion daripada majikan untuk program latihan, tetapi menggunakan sebahagian daripadanya untuk pelaburan yang tidak berkaitan seperti melabur dalam bon dan pasaran saham.

Pada sidang Dewan Rakyat, hari ini, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) bertanya kepada Sim jika Kesuma akan turut membuat laporan polis, dengan berpandangan bahawa ini dalah kes pecah amanah jenayah.

Hassan Abdul Karim

Sambil memberi jaminan bahawa kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan itu, Sim berkata langkah lain telah diambil.

Awal hari ini, Sim, dalam satu kenyataan, berkata kementeriannya akan melantik juruaudit pihak ketiga profesional untuk memastikan ketelusan dalam audit bebas HRD Corp.

Dia menambah bahawa pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan berterusan dan meneliti LKAN serta PAC, termasuk keputusan siasatan SPRM dan audit bebas.

Timbalan Speaker Ramli Md Nor kemudiannya meminta pandangan Hassan jika Peguam Negara wajib membuat laporan polis serta SPRM sebaik sahaja penemuan siasatan itu didedahkan kepada umum.

Ramli Md Nor

“Pengalaman saya 15 tahun dalam jenayah komersial (dalam pasukan polis), bila lambat lambat lambat, bahan bukti dah mula hilang.

“Apa pendapat kamu (Hassan)?” soalnya.

Sebagai maklum balas, Hassan berkata dia tidak melihat salahnya mewajibkan Peguam Negara untuk memfailkan laporan kepada dua pihak berkuasa yang disebutkan itu, yang menurutnya adalah demi kebaikan negara dan rakyat.

Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) turut menyatakan sokongan terhadap idea Ramli.

Saifuddin Abdullah

“Itu idea yang bernas. Saya rasa kita patut pertimbangkan. Saya sokong pada prinsipnya,” kata Saifuddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS