Kesalahan fakta sejarah ketara dalam buku panduan pelancongan Melaka The Guide dikatakan berpunca daripada kecuaian pentadbiran terdahulu.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Abdul Razak Abdul Rahman menjelaskan buku berkenaan mendapat kelulusan dan dikeluarkan kerajaan negeri sejak tahun 2013, justeru bukan di bawah pengelolaan pentadbiran terkini.
“Buku itu bukan diterbitkan sewaktu saya sebagai exco pelancongan atau ketua menteri sekarang.
“Ini adalah printing (cetakan) ataupun salinan terdahulu iaitu 2013 yang diluluskan oleh exco pelancongan negeri sewaktu itu.
"Cuma kita ada buat sedikit penambahan dari segi program Tahun Melawat Melaka 2024 di dalamnya,” katanya seperti dipetik Melaka Hari Ini.
Untuk rekod, pada 2013 portfolio warisan dan pelancongan diterajui ketua menteri Melaka ketika itu Idris Haron.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Idris berhubung dakwaan ini.
Sementara itu, Abdul Razak berkata edaran buku itu telah ditarik semula dan ralat pada fakta yang terkandung akan diperbetulkan.
“Ralatnya, kita tidak lihat (kesilapan) fakta tersebut, namun atas dasar tanggungjawab kita ambil dan akan betulkan kembali fakta itu,” katanya.
Terdahulu, buku panduan pelancong Melaka The Guide telah menimbulkan kekeliruan kerana mengandungi beberapa fakta sejarah yang salah.
Kesilapan dalam terbitan itu turut mendapat perhatian sejarawan warga Perancis Serge Jardin, yang turut mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab terhadap buku itu.
Berhubung itu, pihak Tourism Melaka dalam satu kenyataan meluahkan kekesalan berhubung kecuaian yang berlaku dan memohon maaf di atas kesalahan maklumat yang diterbitkan.
“Kami amat kesal dengan kecuaian ini dan memohon maaf di atas kesalahan maklumat yang telah diterbitkan.
“Tourism Melaka akan memastikan perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan segera telah diambil dengan menghentikan edaran dan menarik semula buku panduan tersebut di semua Pusat Penerangan Pelancong (TIC) serta mengeluarkan pautan e-book dalam platform media elektronik dan sosial media.
Pada masa sama, pihak Tourism Melaka juga telah meminta pihak penerbit Bluedale Publishing Sdn Bhd untuk membuat semakan semula segera atas teguran yang diutarakan.
Pihak Tourism Melaka juga menuntut agar pihak Bluedale Publishing mengemukakan permohonan maaf serta surat tunjuk sebab kepada Kerajaan Negeri Melaka di atas kecuaian tersebut.
