Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mendakwa kerajaan masih belum membayar untuk kerja-kerja penyelenggaraan projek River of Life (ROL).
Katanya, ini walaupun peruntukan sudah pun diluluskan.
“Jadi saya difahamkan kontraktor buat kerja, saya dah luluskan bayaran penyelenggaraan, dah ada dia punya kelulusan untuk bayaran, sampai hari ini tak dapat.
"Jadi jika bayaran penyelenggaraan tak bayar, macam mana ROL mahu jadi seperti mana sepatutnya?" katanya di balai raya Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.
Dia menganggarkan kerja-kerja penyelenggaraan yang belum selesai kini boleh menelan kos antara RM16 hingga RM20 juta, berikutan beberapa kerja memerlukan peralatan yang diimport dari AS - bermakna ia terdedah kepada turun naik ringgit.
Khalid mendakwa pembayaran yang tertangguh itu sebahagiannya disebabkan oleh pengabaian oleh dua kerajaan sebelum ini yang berkuasa selepas Pakatan Harapan kehilangan kuasa pada 2020.
Sementara itu, dia juga menggesa kerajaan untuk menyiasat secara menyeluruh percanggahan dalam projek berbilion-bilion ringgit itu bagi memastikan ROL akan dilaksanakan dengan lancar.
ROL adalah cetusan idea bekas perdana menteri Najib Razak yang menyasarkan untuk membangunkan semula 10.7km Sungai Klang di tengah Kuala Lumpur dan membersihkan 110km pinggir sungai.
Bagaimanapun, laporan Jabatan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan bulan ini mendapati tiada objektif ROL telah dicapai, terutamanya dalam meningkatkan kualiti sungai untuk tujuan rekreasi (Kelas IIB).
Laporan itu juga menyebut bahawa beberapa projek telah ditangguhkan selama lebih lapan tahun, mengakibatkan penyelenggaraan aset projek yang lemah, menyebabkannya diabaikan, rosak dan tidak digunakan.
Walaupun begitu, kerajaan berkata ia akan meneruskan projek itu.
Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa berkata walaupun tidak mencapai 100 peratus penyiapan, dua sungai - Klang dan Gombak - telah mencapai status ikon waterfront, yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.
