PARLIMEN | Jalaluddin Alias (BN- Jelebu) hari ini mendakwa dia cuba diperdaya penipu (scammer) yang menyamar sebagai pegawai bahagian pencegahan pengubahan wang haram institusi perbankan negara.
Mendedahkan perkara itu, Jalaluddin berkata, apa yang lebih menghairankan ialah, penipu terbabit - mengetahui banyak butiran peribadi ahli parlimen berkenaan.
Antara butiran yang ada pada penipu berkenaan, tambah Jalaluddin, ialah nombor akuan bank dan kad pengenalannya.
"Semalam tiga panggilan diterima telefon bimbit peribadi saya...(mendakwa) pegawai dari Maybank Johor Bahru dan telah beritahu nombor IC (kad pengenaalan) saya.
"Nombor (IC) saya tepat, betul. Nombor akaun saya tepat betul dan cawangan mana bank saya buka (juga betul).
"Bagaimana orang ini boleh dapat data peribadi ahli parlimen yang sepatutnya tidak boleh diperolehi pihak ketiga?" katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Akta Perlindungan Data Peribadi di Parlimen, hari ini.
Jalaluddin berkata, individu berkenaan mengugut dan mendakwa kononnya ada waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.
Justeru dia meminta pihak berkuasa memantau dengan serius isu tersebut.
"Yang di-Pertua, kalau saya kena, maknanya rakyat yang biasa sama ada golongan intelektual (atau tidak) terdedah kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
"Saya cabar dia (scammer) datang ke parlimen untuk berjumpa dengan saya (tapi) dia kata, bukan tugas dia untuk jumpa saya di parlimen," katanya lagi.
