Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkongsi saranan agar hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap buli siber sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam melihat kesalahan itu sebagai jenayah yang serius.
Dalam sidang media hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan denda RM100 yang dikenakan ke atas pemilik rumah kebajikan Shalini Periasamy, yang dikaitkan dengan kematian buli siber terhadap pempengaruh TikTok Rajeswary Appahu (Esha), dua hari lalu.
Katanya, akan ada pengumuman dalam masa terdekat berhubung hukuman lebih berat bagi kes buli siber.
"Jadi sementara ya kami ada kekurangan dari segi peruntukan undang undang di bawah akta yang sedia ada tapi tidak boleh menjadi alasan untuk pihak-pihak badan penguat kuasa ini melihat bukan dari aspek akta kesalahan kecil sahaja.
"Sebab kalau hanya diberikan denda RM100 kemudian yang terlibat itu keluar dari mahkamah dengan senyum selamba itu tentu menghiris perasaan keluarga mangsa," katanya.
Saifuddin juga berkata isu itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok.
P Shalini menerima denda RM100 selepas mengaku berkelakuan menghina di TikTok, bertujuan mencetuskan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.
Kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membenarkan denda maksimum RM100.
Pada 5 Julai, Rajeswary, seorang aktivis hak Hindu berusia 29 tahun yang juga dikenali sebagai Esha, ditemui mati di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur.
Sehari sebelum kematiannya, dia telah melaporkan dua individu kepada polis atas dakwaan gangguan di TikTok.
Di Dewan Rakyat, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan hasrat kerajaan untuk meneroka perundangan baru bagi menangani buli siber.
Dia berkata bahawa undang-undang yang dicadangkan ini akan bertujuan untuk berkesan pada masa depan, dengan mengambil kira platform komunikasi yang berkembang dan keperluan semasa.
Fahmi turut mengetengahkan undang-undang sedia ada berkaitan buli siber termasuk Seksyen 503 dan 509 Kanun Keseksaan yang meliputi ugutan jenayah dan perbuatan yang bertujuan untuk menghina kehormatan seseorang.
Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menangani penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang tidak wajar.
Minggu lalu, Bernama melaporkan bahawa Menteri Digital Gobind Singh Deo telah mencadangkan agar undang-undang baru yang meletakkan tanggungjawab untuk penyalahgunaan media sosial, termasuk buli siber, pada pemilik platform media sosial, diperkenalkan.
Katanya, dia bersama Fahmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, membawa isu buli siber, termasuk kematian Esha semasa mesyuarat kabinet Jumaat.
Tambahnya, undang-undang sedia ada khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Komputer boleh dikuatkuasakan.
