Semua pelajar dan rakyat Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang sebagai langkah jaminan keselamatan mereka, susulan kemelut tunjuk perasaan yang semakin meruncing di negara itu, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Bercakap pada sidang media di Wisma Putra hari ini, Mohamad berkata ketetapan tersebut dibuat selepas kerajaan memutuskan menggerakkan pelan evakuasi bagi membawa semua mereka ke tanah air.

Katanya, untuk tujuan itu, kementeriannya juga bekerjasama dengan AirAsia bagi membawa pulang sekurang-kurangnya 193 rakyat Malaysia di sana menggunakan pesawat khas dengan kapasiti 350 penumpang.
“Seperti mana yang kita tahu situasi keselamatan di Bangladesh tidak berapa baik dan assesment yang kita buat ketika ini kita telah mencapai kata putus bahawa plan evakuasi akan kami gerakkan untuk bawa balik pelajar-pelajar kita yang berada di Bangladesh dan juga rakyat Malaysia di sana serta ahli keluarga petugas kita yang berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Dhaka.
“Mula-mula kami mahu sewa kapal terbang dengan kapasiti 250 penumpang tapi selepas itu ambil kira juga rakyat Malaysia yang tidak berada dalam radar kita, yang mahu ikut sama pulang.
“Kita juga baru tahu ada keluarga juruterbang di sana, dalam 10 orang yang nak pulang juga. Jadi kami minta pihak AirAsia hantar pesawat ‘wide body’ ke sana.

“Mana tahu ada saat akhir, ada yang tak daftar dengan kedutaan dan mahu balik. Kadangkala ada pelajar swasta, yang pergi sana, tak daftar dan pergi bersendirian,” katanya.
Mohamad berkata demikian selepas melakukan pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar yang masih terperangkap di Bangladesh, di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata proses evakuasi berkenaan dikelolakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selain itu, Mohamad berkata pihak kedutaan Malaysia di Dhaka juga sedang berusaha mengumpul semua rakyat Malaysia termasuk pelajar terbabit dengan bantuan pihak keselamatan Bangladesh untuk dibawa ke bangunan kedutaan sebelum dibawa pulang esok.
Tambah Mohamad, Wisma Putra juga telah berjaya mengesan seramai 139 pelajar yang berada di Bangladesh, majoritinya di Mymensingh Medical College (MMC) iaitu seramai 55 orang.
Jelasnya lagi, Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Dhaka berjaya membawa pulang 15 pelajar baru-baru ini, menjadikan setakat ini terdapat 124 pelajar Malaysia masih berada di negara tersebut.

Dalam pada itu, mengulas situasi di Bangladesh, Mohamad berkata, pada mulanya rusuhan itu cuma melibatkan gerakan pelajar namun ia kemudiannya bertukar menjadi gerakan antikerajaan selepas campur tangan politik.
Justeru, dia berpendapat isu tersebut tidak akan selesai dalam tempoh segera dan jalan terbaik adalah membawa pulang semua rakyat Malaysia ke tanah air.
“Kita harap tiada yang tertinggal. Kita ambil ‘wide body’, dua kali ganda daripada kapasiti yang diperlukan.
“Kalau ada rakyat Malaysia di sana, yang tidak berdaftar tapi nak balik Malaysia, baliklah.
“Ini adalah ihsan kerajaan nak bawa balik rakyat kita dari lokasi yang bermasalah,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.
Di bawah sistem itu, sebanyak 30 peratus daripada kuota semasa iaitu 56 peratus bagi pekerjaan dalam sektor awam, dikhaskan untuk ahli keluarga pahlawan yang berjuang dalam perang pembebasan pada 1971.
Setakat ini, lebih 400 warga Bangladesh cedera dalam proses berterusan tersebut dengan kerajaan telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara itu dan mengerahkan tentera bagi tujuan pengamanan.
