Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Halimah: Tak sesuai pemimpin parti Islam hadir majlis libat syarikat arak
Diterbitkan:  Jul 23, 2024 4:47 PM
Dikemaskini: Jul 25, 2024 5:07 AM

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Halimah Ali menyifatkan kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu dalam acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat arak, sebagai tidak sesuai.

Menurut Halimah, sebagai pemimpin kerajaan, kehadiran Aiman seolah-olah merestui pelanggaran terhadap surat pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) yang melarang penerimaan sumbangan daripada syarikat sedemikian.

Dia berkata tindakan pemimpin PAS yang memberi teguran berkenaan perkara itu sebelum ini bukan bertujuan mencetuskan ketegangan kaum.

"Ia lebih sebagai mengingatkan pemimpin berkenaan bahawa mewakili sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, majlis tersebut tidak sesuai buat beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aiman Athirah

Acara tersebut dianjurkan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang pada Ahad lalu, dan menampilkan Tiger Beer sebagai salah satu penaja.

Aiman yang juga ahli Parlimen Sepang hadir di acara itu, bersama-sama Adun Sungai Pelek Lwi Kian Keong.

Dalam penjelasannya, Aiman berkata kehadirannya sebagai tanda sokongan kepada sekolah, bukan arak.

KPM pula memaklumkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung sumbangan syarikat minuman keras terhadap sekolah itu.

Menurut KPM, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 melarang sumbangan yang melibatkan kegiatan "perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya"

Sementara itu, Halimah menjelaskan PAS sentiasa menyokong usaha SJKC untuk mendapatkan sumber dana untuk digunakan demi kebaikan pelajar mereka.

"Untuk itu pihak kerajaan perlu membimbing dan menggalakkan lagi ratusan syarikat korporat di Malaysia yang tidak tersenarai di bawah larangan Garis Panduan Kementerian itu untuk memperluaskan aktiviti CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) masing-masing.

"Ini supaya dapat turut menyumbang ke arah mempertingkatkan prasarana sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bawah KPM yang masih tidak sempurna," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS