Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencemaran: Mungkin perlu hukuman sebat - pemimpin PAS
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 4:00 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) PAS, Mohd Zuhdi Marsuki percaya bahawa pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) masih tidak cukup untuk memberi keinsafan dan kegerunan.

Menurutnya, ini meskipun pindaan itu membenarkan denda sehingga RM10 juta dikenakan dan penjara lima tahun.

Dia berkata demikian sebagai menyorot insiden pencemaran terbaru di Sungai Kuang, Selangor.

"Maka, adakah Akta Kualiti Alam Sekiling (1974) perlu dipinda lagi, kali ini memasukkan pula hukuman sebat,” katanya seperti dilapor Harakah.

Pada 2022, Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada 28 seksyen Akta 127 yang termasuk antara lain meningkatkan hukuman denda minimum tidak kurang RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin menjelaskan bahawa mereka yang berada di sebalik kes pencemaran air baru-baru ini boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda sehingga RM10 juta.

Dia menjawab laporan bahawa mereka yang bertanggungjawab dalam insiden Sungai Kuang hanya didenda RM1,000 dan lesen perniagaan mereka digantung selama tujuh hari.

“Denda RM1,000 dan penggantungan lesen perniagaan hanya berdasarkan undang-undang kecil PBT.

"Ada undang-undang lain yang akan diguna pakai sebaik kertas siasatan siap," Jamaliah dilaporkan berkata.

Jamaliah berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) turut menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999.

Jika bersalah, mereka yang bertanggungjawab boleh didenda antara RM200,000 sehingga maksimum RM1 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tiga tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS