Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mengulangi cadangan agar badan berkanun seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditubuhkan untuk menjaga hak dan kebajikan Orang Asli.
Kata timbalan speaker Dewan Rakyat itu, ini kerana Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) gagal memainkan peranan dan tidak membantu masyarakat itu keluar daripada kemiskinan.
“Wakil Jakoa di (sesebuah) daerah hanyalah (pegawai) bergred N22 iaitu peringkat kerani kanan (sahaja). Dia nak bagi (buat) keputusan pun tak boleh. (Asyik kena) rujuk (orang atasan), tak boleh buat keputusan,” kata Ramli dipetik Free Malaysia Today (FMT).
Kata Ramli, penubuhan Mara sebelum ini mampu mengeluarkan kaum Melayu dan Bumiputera daripada kemiskinan serta melahirkan ramai golongan profesional.
“Zaman saya Tingkatan 5, orang Melayu Bumiputera, kalau pandai dihantar (oleh Mara) ke luar negara (sambung pelajaran) di Australia, Amerika Syarikat (dan lain-lain). Biasiswa (ditaja) Mara berjuta-juta. Itulah kerangka pada orang Melayu yang maju sekarang.
“Selepas adanya Mara, golongan profesional seperti peguam, doktor, arkitek dan lain-lain dalam kalangan Melayu Bumiputera terus melonjak. Kami Orang Asli fikir, kita ikutlah cara mereka (tubuh Mara) dan menekankan pendidikan serta TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata dia sebelum ini pernah mengusulkan cadangan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 2022, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana BN baru sahaja menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
Justeru katanya, dia akan mengangkat semula usul berkenaan untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah,(sekarang) sudah masuk tahun kedua (kerajaan perpaduan). Saya akan angkat balik semula usul ini. Kita akan serahkan pada PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim),” katanya.
Sementara itu, Ramli turut menggesa masyarakat Orang Asli merebut segala peluang yang disediakan kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan.
Katanya, ini kerana jumlah keciciran pelajaran di kalangan masyarakat Orang Asli agak tinggi.
"Kalau Orang Asli tak sambut, sampai bila-bila ‘target’ (nak maju) tak lepas,” katanya.
Pada 2022, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid pada ketika itu dilaporkan berkata lebih 10 peratus anak Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia tercicir daripada sistem pendidikan disebabkan faktor jarak penempatan dengan sekolah selain akses perjalanan.
