Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelesenan media sosial terbuka kepada penyalahgunaan - LFL
Diterbitkan:  Jul 29, 2024 10:08 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Peguam hak asasi Eric Paulsen mengecam pengumuman kerajaan bahawa semua penyedia platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini mesti memohon lesen.

Dalam satu kenyataan ringkas di platform media sosial X, pengasas bersama dan penasihat Lawyers For Liberty (LFL) itu berkata bahawa dia menjangkakan langkah itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, akan terbuka kepada penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.

Eric Paulsen

“Lihatlah bagaimana Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain telah disalahgunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tidak ada sebab sama sekali untuk berfikir bahawa pelesenan/perundangan media sosial yang dicadangkan baharu ini juga tidak akan disalahgunakan,” kata Paulsen yang juga adalah bekas wakil Malaysia kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asean.

Dia mengulas kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengumumkan bahawa langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari, 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Ia akan dikuatkuasakan melalui Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Dalam mempertahankan langkah itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata keputusan itu adalah bagi mempertanggungjawabkan semua penyedia platform media sosial agar mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan komuniti.

Teo Nie Ching

Dia secara khusus berkata lesen berkenaan bertujuan mengekang peningkatan kes jenayah siber terutamanya jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan penipuan dalam talian di negara ini yang dilihat semakin membimbangkan.

Teo berkata sebanyak 360 kes seksual melibatkan kanak kanak menerusi media sosial direkodkan pada 2022 dan meningkat kepada 525 kes pada 2023 dan 288 kes dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Manakala, katanya, jumlah kerugian yang diakibatkan oleh penipuan dalam talian adalah RM453 juta pada 2022, meningkat kepada RM1.2 bilion pada tahun lepas manakala dari Januari hingga Jun ini, jumlah kerugian yang telah dicatatkan oleh pihak polis adalah RM637 juta.

Sementara itu Pengarah LFL Zaid Malek juga senada dengan Paulsen. Katanya, pelesenan platform media sosial sama sekali tidak diperlukan dan akan menjejaskan lagi reputasi kerajaan kerana dilihat cuba menutup mulut pengkritik.

Dia menyamakan tindakan itu seumpama dengan konsep di sebalik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah berdekad digunakan untuk mengawal media cetak termasuk menutup akhbar.

“Undang-undang zalim ini terus berkuat kuasa di bawah kerajaan pimpinan PH walaupun sebelum ini mereka berjanji untuk memansuhkannya,” kata Zaid.

Mengulas lanjut, Zaid berkata media sosial telah menjadi komponen penting dalam mana-mana masyarakat demokratik dan harus dipelihara sebagaimana adanya.

Dia menambah bahawa sebarang penyalahgunaan platform media sosial seperti buli siber, penipuan atau jenayah lain boleh ditangani dengan peraturan yang komprehensif.

“Terdapat beberapa contoh baru-baru ini untuk menunjukkan kerajaan secara tidak demokratik cuba melenyapkan suara penentang atau pengkritik dalam talian melalui permintaan alih keluar kepada penyedia media sosial.

"Langkah terancang mengenakan lesen kepada penyedia ini akan menjadi cara yang pasti bagi kerajaan untuk memaksa penyedia ini mematuhi permintaan tersebut," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS