Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Khairy 'kelu' berhubung kritikan Pemuda MCA

Beh Lih Yi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menjadi 'kelu' hari ini apabila diminta mengulas kritikan pedas Pemuda MCA yang disasarkan kepada Umno.

Walaupun, beliau mengikuti majlis perasmian persidangan Pemuda MCA di Melaka hari ini, tetapi Khairy tidak memahami kandungan ucapan kepimpinan MCA kerana ianya disampaikan dalam Mandarin.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, dalam ucapan panasnya berkata, pergerakan itu tidak akan bertolak ansur dengan tindakan perkauman yang melampau dan menuduh pihak-pihak tertentu telah mengapi-apikan sentimen masyarakat Cina.

Dalam ucapan yang dilihat jelas merujuk kepada Pemuda Umno, Liow yang menjulang Perlembagaan Persekutan bersama ahli jawatankuasa pergerakannya yang lain, berkata rakyat perlu menjulang perlembagaan dan bukannya keris.

Teks ucapannya dalam bahasa Malaysia tidak menyebut kritikan-kritikan tersebut.

Timbalan Presdien MCA, Datuk Seri MCA Chan Kong Choy yang merasmikan persidangan tersebut mahu pemimpin Umno dan MCA berkerjasama, dan beliau menyebut nama Liow, Khairy dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein.

'Beliau berkata demikian?'

Apabila majlis perasmian berakhir, dan para wartawan mahu meminta komen Khairy mengenai ucapan tersebut, tetapi Khairy hanya menjawab yang beliau perlu membaca ucapan itu terlebih dahulu.

Ketika diminta mengulas ucapan Liow yang menegaskan supaya dijulang perlembagaan dan bukannya keris, Khairy menjawab: "Beliau berkata demikian? Saya perlu melihat bagaimana ia disebut, saya tidak faham Mandarin."

Ketika ditanya lagi mengenai komen Liow itu, Khairy sekali lagi mengulangi bahawa beliau perlu membaca teks penuhnya terlebih dahulu sebelum memberi sebarang jawapan.

Ditanya sama ada beliau menerima versi terjemahan ucapan Liow, Khairy menjawab: "Tidak... ehhh... kita sedang mendapatkannya."

Bagaimanapun, Khairy membuat komen secara umum bahawa kedua-dua pergerakan tersebut tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dan beliau menghargai seruan Chan supaya ditingkatkan lagi kerjasama antara mereka.

Sebaik sahaja Khairy selesai bercakap dengan pihak media, beliau masuk semula ke bilik tetamu VIP dan kedengaran beliau bertanya apakah yang dikatakan oleh Liow dalam ucapannya termasuk mengenai keris.

Dalam penjelasannya, ketua Pemuda MCA itu kedengaran menjawab bahawa beliau hanya memaklumkan kepada para perwakilan mengenai "apakah yang telah berlaku".

Ketika itu, seorang pegawai MCA terus menyerahkan satu salinan ucapan terjemahan dalam Bahasa Malaysia kepada Khairy, dan ia diambil oleh seorang ahli Pemuda Umno.

Penjelasan Liow

Dalam sidang akhbarnya sebelum itu, Liow menjelaskan bahawa beliau tidak membuat kritikan secara terpilih dalam ucapannya dalam tiga bahasa itu.

Katanya, beliau tidak perlu mengulangi keseluruhan ucapan dalam dua bahasa kerana beliau telah menyediakan versi terjemahan ucapannya untuk diedarkankepada tetamu yang tidak faham Mandarin dan pihak media.

Dalam ucapan Liow dalam versi Bahasa Malaysia yang diedarkan lebih awal, beliau memuji Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno dan Menteri Pelajaran kerana meluluskan peruntukan RM14 juta kepada sekolah Cina di bawah program sekolah Pemuda MCA. Berita asal