PRK NENGGIRI | Bekas pemimpin Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, mendedahkan pemimpinnya yang bertanggungjawab membawa dia meninggalkan parti tersebut untuk 'berhijrah' ke Bersatu pada 28 Julai lalu.
Kata Mohd Rizwadi pada asalnya dia keberatan untuk bertindak sebegitu kerana sedar tanggungjawab besar yang perlu digalas walaupun ia sebenarnya menjadi langkah awal sebelum dicalonkan bagi PRK Nenggiri.
Namun katanya yang dipetik harakahdaily, dia kemudian akur selepas diminta "berkali-kali" oleh pihak atasan PAS termasuk dalam kalangan pemimpin tertinggi parti tersebut.
“Saya hanya diberitahu mengenai perkara itu dua hari sebelum majlis pengumuman calon diadakan dan diminta untuk menerima cadangan tersebut.
“Ekoran itu saya mendapat kepastian daripada Mursyidul Am PAS Datuk Tuan Guru Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Presiden Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memandangkan saya diminta menyertai Bersatu.
“Saya diperjelaskan mengenai kaedah sebenar bagi membolehkan ahli PAS menyertai Bersatu berdasar persetujuan bersama,” katanya.
Dia yang sebelum itu bertugas sebagai timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang dipetik lidah rasmi parti itu semasa ditemui di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang malam tadi.
Beberapa hari menjelang penamaan calon bagi PRK Nenggiri, perhatian banyak tertumpu kepada PN ekoran 'langkah' yang diambil gabungan terbabit dalam usaha mereka mempertahankan kerusi berkenaan.
Langkah teknikal politik
Dalam pilihan raya negeri (PRN) pada tahun lalu, kerusi Nenggiri diperuntukkan kepada Bersatu. Ia merupakan satu daripada enam kerusi yang diserahkan PAS kepada rakan mereka dalam PN.
Secara keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai 45 kerusi.
Bagaimanapun kerusi Nenggiri diisytiharkan kosong selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah menerima notis yang dihantar oleh Bersatu berhubung pindaan perlembagaan yang dilakukan mereka.
Sebelum itu penyandang kerusi Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, memberikan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menjelang PRK Nenggiri beberapa pihak dalam PAS mendesak agar kerusi itu dikembalikan kepada mereka, namun kepemimpinan tertinggi parti terbabit memutuskan agar Bersatu kekal bertanding di situ.
Ia menjadi lebih menarik apabila calon yang diturunkan Bersatu di situ ialah ahli baru mereka - Mohd Rizwadi - yang meninggalkan PAS kira-kira dua hari sebelum diumumkan secara rasmi menjadi wakil PN.
Semasa diumumkan sebagai calon Bersatu-PN, Mohd Rizwadi juga melafazkan sumpah laknat dengan berikrar tidak akan keluar atau membelot parti barunya itu jika memenangi kerusi Nenggiri.
Mohd Rizwadi yang juga bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Gua Musang berkata, tidak timbul isu dia meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu kerana ia merupakan isu "teknikal" demi mempertahankan Nenggiri agar terus dimenangi PN.
Bahkan dia berpendapat langkah tersebut merupakan kaedah terbaik untuk PAS dan Bersatu menghadapi PRK Nenggiri.
PRK Kelantan pada 2023 menyaksikan Mohd Azizi memenangi Nenggiri dengan mengalahkan calon Umno-BN, Ab Aziz Yusoff dengan perbezaan hanya 810 undi.
