Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Alasan 'tidak masuk akal', DAP bidas exco Terengganu PAS
Diterbitkan:  Aug 6, 2024 11:34 AM
Dikemaskini: 4:44 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah yang mempertahankan arahan kepada Tokong Guan Di supaya menghentikan sebarang persembahan penyanyi wanita semasa majlis sambutan yang diadakan antara 29 Julai dan 2 Ogos lalu.

Sukairi, semalam menafikan kerajaan negeri Terengganu mendiskriminasi agama lain dan menjelaskan arahan itu dikeluarkan kerana acara itu diadakan di kawasan terbuka.

Bagaimanapun, Lim menyifatkan alasan pemimpin PAS itu sebagai "tidak masuk akal".

“Sebab ini acara kuil yang melibatkan orang bukan Islam sahaja. Tiada orang Islam dijemput untuk hadir dan tiada orang Islam akan hadir atas kerelaan mereka sendiri dalam sebuah negeri yang dikuasai PAS yang menerapkan peraturan moral mereka yang ketat.

“Tambahan, persembahan ini diadakan bersebelahan kuil yang menganjurkan acara seumpama itu setiap tahun yang hanya melibatkan orang bukan Islam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Katanya, janji-janji PAS sebelum ini untuk tidak mengganggu tradisi agama atau amalan orang bukan Islam hari ini menjadi “tidak lagi relevan dan bermakna, malah ia adalah satu penipuan.”

Lim menjelaskan bahawa bukan sahaja orang bukan Islam didiskriminasi, tetapi tindakan kerajaan negeri turut menafikan hak mereka untuk mengamalkan hiburan, adat resam serta amalan tradisi semasa perayaan keagamaan.

"Ini melanggar peruntukan kebebasan beragama dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan setiap orang hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya," katanya.

Dengan PAS enggan mengalah daripada pendirian kerasnya, Lim mendakwa peraturan itu membayangkan bagaimana amalan melampau oleh PAS boleh menjejaskan bukan Islam pada masa hadapan.

“Peraturan PAS yang menyekat hiburan dalam perayaan agama bukan Islam ini masih ada.

“Rakyat Malaysia, khususnya bukan Islam, kini diberi amaran bahawa amalan ekstremis PAS juga boleh dikenakan kepada bukan Islam,” tambahnya.

Pada 3 Ogos, China Press melaporkan bahawa kuil itu menerima arahan bertulis daripada kerajaan tempatan yang melarang penyanyi wanita membuat persembahan pentas.

Ini mendorong ahli parlimen DAP Teresa Kok untuk tampil menyoal kerajaan negeri sama ada larangan persembahan penyanyi wanita itu mewakili dasar baharu atau mereka telah meluaskan skop larangan hiburannya untuk memasukkan tempat bukan Islam seperti kuil Buddha dan Tao.

Selepas itu, seorang lagi ahli parlimen DAP, Lip Eng, menegaskan langkah itu secara sistematik menafikan hak wanita, termasuk semua kaum dan agama.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS