Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peringatan' Meta iringi hantaran PM mengenai ketua Hamas
Diterbitkan:  Aug 6, 2024 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Hantaran media sosial Anwar Ibrahim mengenai Ismail Haniyeh yang 'ghaib' kerana dianggap melanggar garis panduan Meta, kini kembali muncul di platform sama.

Bagaimanapun hantaran dibuat perdana menteri untuk memperingati kenalannya - yang juga pemimpin Hamas - itu disiarkan dengan nota daripada Meta.

'Peringatan' itu paling ketara disiarkan Meta di Instagram apabila terdapat notis jelas yang menyatakan "Hantaran ini bertentangan dengan garis panduan komuniti kami tetapi telah dibiarkan di Instagram untuk kesedaran awam".

Di Facebook pula, notis Metak itu jauh lebih kecil dan hanya menyatakan secara ringkas bahawa "Hantaran ini dibenarkan untuk kesedaran orang ramai".

Apabila notis di Facebook itu diklik, platform tersebut menyatakan "Dalam sesetengah kes, kami membenarkan siaran kandungan yang bertentangan dengan piawaian komuniti kami".

Jika ada sesiapa mahu berkongsi hantaran Anwar di Instagram dan Facebook, pengguna akan diberi peringatan yang ia bertentangan dengan piawaian komuniti Meta dan diberi pilihan untuk meneruskan langkah tersebut atau sebaliknya.

Terdahulu, Meta dalam kenyataan kepada Reuters memohon maaf kerana mengeluarkan hantaran di Facebook dan Instagram Anwar dan memberitahu ia disebabka "kesilapan operasi".

Semalam dalam pertemuan Meta dengan wakil kerajaan di Putrajaya, Pejabat Perdana Menteri memberi teguran keras kepada syarikat pengendali media sosial tersebut.

Catatan yang dipadamkan Meta adalah mengenai pertemuan Anwar dengan Ismail pada Mei lalu, dan kutukan perdana menteri ke atas pembunuhan pemimpin Hamas terbabit.

Selain Anwar, beberapa tokoh lain turut mengalami nasib sama. Antaranya ialah Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abu Bakar.

Semakan oleh Malaysiakini mendapati bahawa siaran mereka juga telah dipulihkan oleh Meta dengan amaran yang sama mengiringinya.

Ismail dibunuh di sebuah rumah tumpangan di Teheran, Iran pada 31 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS