Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan kerajaan untuk menyerahkan tanah seluas hampir 107 hektar di Jalan Tuanku Abdul Halim (dahulunya dikenali sebagai Jalan Duta) kepada pemilik asal lokasi itu, Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.
The Edge melaporkan Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan Semantan Estate, untuk melaksanakan perintah yang diperoleh syarikat itu sejak 2009.
Ia adalah antara pertikaian tanah sivil paling lama sejak Merdeka selepas mahkamah menolak permohonan kerajaan untuk penangguhan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan mengenai isu itu.
Tanah yang dikenali sebagai `Duta Enclave’ itu menempatkan sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia.
Hakim Ahmad Shahrir juga mengarahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM50,000.
Sebelum itu, mahkamah juga menolak permohonan kerajaan yang diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Shamsul Bolhassan untuk menggantung prosiding itu selama tiga bulan bagi membolehkan perbincangan mengenai ganti rugi tanah tersebut dimuktamadkan.
Keputusan pada hari ini juga memutuskan pemindahan tanah itu perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan, tanpa sebarang halangan dan liabiliti dan Semantan Estate didaftarkan sebagai tuan punya tanah terbabit.
Ini tidak termasuk permohonan pelikuidasi untuk ganti rugi keuntungan perantaraan (mesne profit) yang dituntut oleh plaintif yang masih belum selesai.
Hasil perantaraan adalah sewa atau keuntungan yang diperoleh oleh penceroboh sewaktu menduduki sesuatu premis atau tanah yang perlu dibayar kepada tuan punya sebagai ganti rugi atas tindakan yang telah dilakukan.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Semantan Estate kemudian memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Semantan Estate diasaskan oleh Kumpulan Eng Lian dan Ng Chin Siu & Sons Rubber Estates–syarikat milik dua pemilik tanah terkemuka.
Eng Lian terkenal sebagai pemaju Bangsar, Kuala Lumpur pada tahun 70-an. Mereka juga membangunkan pusat beli belah Bangsar Village.
Ng Chin Siu & Sons pula tidak terlibat dalam projek pembangunan mutakhir ini. Mereka bagaimanapun terkenal dengan pembangunan Desa Hartamas dan Mont Kiara, Kuala Lumpur.
