Profesor pengajian media, Benjamin YH Loh menyifatkan aktiviti dalam talian oleh netizen baru-baru ini yang menyorot kehadiran keluarga presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norza Zakaria di Sukan Olimpik Paris adalah contoh “buli siber yang beretika”.
Loh, seorang pensyarah kanan dalam bidang media dan komunikasi, berkata insiden tersebut adalah contoh aktivisme dalam talian atau "buli siber beretika" dan menjelaskan mengapa pelesenan media sosial berpotensi mengharamkan aktivisme seumpama itu dalam kalangan rakyat.
"Inilah di mana garis pemisah antara buli siber dan kebertanggungjawaban penjawat awam perlu ditentukan:
"Adakah ia memfokus kepada individu pada tahap peribadi atau kedudukan mereka. Dalam kes ini, walaupun keluarga 'diserang', ia lebih kepada (dakwaan) bahawa mereka mendapat manfaat daripada keistimewaan kerajaan (nepotisme)?" kata Loh dalam satu hantaran di platform media sosial X.
Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mempertahankan keluarganya daripada serangan dalam talian selepas gambar mereka menyaksikan Sukan Olimpik dengan kad akreditasi khas tular.
Norza berkata dia berkhidmat secara pro bono dalam kedua-dua persatuan tersebut dan membiayai sendiri kos perjalanan keluarganya ke Sukan Olimpik Paris.
Pengarah pentadbiran BAM, Michelle Chai juga mempertahankan Norza dengan mengatakan semua peraturan telah diikuti dan dia tidak sepatutnya menjadi mangsa buli siber.
“IOC memang memberi akreditasi kepada presiden dan setiausaha agung NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan). Setiap daripada mereka mendapat seorang tetamu pengiring dan pada kad itu, akan tertera perkataan “NOC”," katanya
Bagaimanapun Loh mempersoalkan langkah itu.

"Jika anda menerimanya atas kapasiti penjawat awam (presiden BAM/NOC), cara yang betul untuk menggunakannya ialah membawa seseorang yang akan mendapat manfaat atas kapasiti rasmi.
"Walaupun tidak menyalahi undang-undang, ia adalah satu tindakan yang tidak munasabah kerana ini boleh digunakan untuk faedah atlet.
"Sebagai penjawat awam, anda tidak kebal daripada kritikan. Anda berkhidmat untuk orang awam, dan setiap kali anda muncul di khalayak ramai, anda berada di situ dengan menggunakan wang pembayar cukai dan tertakluk kepada kritikan rakyat.
"Adalah wajar untuk mempersoalkan mengapa ahli keluarga anda berada di sana bersama pegawai lain dalam tugas rasmi," tambah Loh.
