Dasar Gaji Progresif yang diperkenalkan kerajaan menunjukkan kadar gaji permulaan untuk ahli nujum hanya berbeza RM35 berbanding ahli falsafah, sejarawan dan ahli sains politik.
Hal itu didedahkan melalui dokumen yang diuar-uarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, hari ini.
Kata Rafizi, ramai orang tidak tahu bahawa penetapan gaji permulaan berdasarkan kelayakan yang perlu dipatuhi sektor swasta turut melibatkan ahli nujum.
Katanya mengikut Dasar Gaji Progresif, gaji permula untuk ahli nujum ialah RM2,205.
"Mana-mana majikan yang menaikkan gaji untuk mematuhi tangga gaji ini layak mendapat insentif gaji progresif yang perlu dibayar kepada pekerja, supaya kenaikan gaji itu ditanggung oleh kerajaan.
"Untuk senarai penuh gaji permulaan di bawah Dasar Gaji Progresif, muat turun buku panduan gaji pokok permulaan dan kenaikan tahunan di gajiprogresif.gov.my," katanya dalam hantaran video di X, hari ini.

Semakan Malaysiakini pada dokumen dalam talian itu pula menunjukkan gaji permulaan untuk ahli falsafah, sejarawan dan ahli sains politik ialah RM2,240.
Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif menunjukkan tangga gaji ahli nujum itu tersenarai bersama tukang tilik di bawah kod MASCO4D 5161.
Buku panduan itu juga memaparkan, tangga gaji permulaan tertinggi ialah untuk penterjemah, jurubahasa dan ahli linguistik lain yang berjumlah RM4,675, manakala paling rendah melibatkan pekerjaan sebagai broker gadaian dan peminjam wang (RM1,810).
Rafizi berkata kadar gaji permulaan mengikut kelayakkan di bawah Dasar Gaji Progresif untuk jurutera mekanikal ialah RM3,380 sebulan, manakala jurutera awam RM3,115; akauntan dan juruaudit RM3,280; dan juruteknik kejuruteraan awam RM2,470.
Ditanya seorang pengikutnya berhubung kedudukan gaji ahli nujum yang turut dikongsinya itu, Ahli Parlimen Pandan berkenaan berkata pekerjaan itu direkod dalam kod pekerjaan rasmi negara.
"Ya ada dalam kod pekerjaan rasmi negara," balasnya disusuli emoji ketawa.
