Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan langkah penyedia perkhidmatan internet (ISP) menangani isu yang menyebabkan web disekat di Malaysia masih boleh diakses pengguna, adalah bagi memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Kenyataan itu selepas kumpulan hak digital Sinar Project berkata pihaknya mendapati ISP melaksanakan proksi Sistem Nama Domain (DNS) yang telus, menyebabkan pengguna terpaksa menggunakan pelayan DNS tempatan walaupun mereka telah mengubah tetapan untuk menggunakan perkhidmatan DNS luar negara.
Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata ia komited untuk bekerjasama dengan ISP tempatan untuk menambah baik langkah pencegahan dan perlindungan serta memastikan sekatan terus berkesan, termasuk dalam aspek pengurusan DNS.
“Kerjasama SKMM dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.
“Ini selaras dengan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.
“Usaha ini juga memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara daripada segenap lapisan masyarakat untuk tidak melangkaui mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga, khususnya remaja dan kanak-kanak,” kata SKMM, tanpa menyebut laporan atau dapatan oleh Sinar Project.
Pelayan DNS adalah sama seperti buku alamat yang digunakan komputer untuk melayari internet.
Lazimnya, SKMM menyekat laman web dengan mengarahkan ISP untuk membuat pengubahan pada rekod DNS dan komputer yang ingin ke laman web disekat akan dilencong ke alamat yang lain.
Cara lazim diguna pakai untuk menanganinya adalah dengan menggunakan perkhidmatan DNS yang disediakan pihak ketiga seperti Google, Cloudflare dan OpenDNS.
Proksi DNS yang telus akan menggagalkan cara itu dengan mengalihkan semula permintaan DNS pihak ketiga kepada pelayan DNS ISP sendiri.
Menurut Sinar Project, pengguna boleh menukar tetapan DNS sekali lagi supaya carian DNS mereka dengan perkhidmatan DNS pihak ketiga dihantar melalui sambungan selamat yang dikenali sebagai "DNS over HTTPS".
Sementara itu, SKMM berkata berdasarkan statistik sejak lima tahun lalu, bilangan laman web yang disekat telah menurun sejak jumlah tertinggi direkodkan pada 2021.
Menurutnya, sebanyak 3,370 laman web disekat pada 2020; 6,571 pada 2021; 4,572 pada 2022; dan 3,724 pada 2023.
Bagi tahun ini, setakat 1 Ogos, terdapat 2,127 laman web disekat.
Dalam 10,423 laman web yang disekat sejak 1 Januari 2022, SKMM berkata 95.7 peratus adalah dalam satu daripada lima kategori utama.
Kategori tersebut adalah perjudian (4,484 laman web), pornografi (3,271), pelanggaran hak cipta (1,654), scam dan pelaburan haram (316) dan pelacuran (249).
Menurut SKMM lagi, sekatan dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Suruhanjaya Sekuriti.
“Dalam konteks yang lebih besar, sekatan kepada laman-laman web turut dapat mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah, serta jenayah terancang yang lain,” kata suruhanjaya itu lagi.
Walaupun tidak disebut dalam kenyataan itu, perlu dinyatakan yang organisas media juga berdepan masalah laman web disekat dalam tempoh tersebut.
Tahun lalu, beberapa laman berita disekat untuk suatu tempoh oleh SKMM, iaitu MalaysiaNow, UtusanTV dan TVPertiwi.
Ada sekatan yang dibuat walaupun dengan jaminan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa laman berita tidak akan disekat sementara siasatan masih berjalan.
Pada 2018, laman khas Malaysiakini untuk kemas kini siaran langsung keputusan PRU14 juga disekat selepas mengumumkan kemenangan PH, yang kemudiannya disahkan oleh keputusan rasmi.
