Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib presiden Gerakan mengaku tidak bersalah pecah amanah
Diterbitkan:  Aug 9, 2024 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Yap Kim Heng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang bayaran sewa gerai berjumlah RM15,950 antara Mei 2018 hingga Jun 2021.

Yap, 62, yang juga Pengerusi Gerakan Pahang dan Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Amator Kuantan (KABA) membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan, tertuduh atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi KABA didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta iaitu cek milik Dai Sou Nasi Lemak bernilai antara RM1,350 hingga RM4,200 sebagai bayaran sewa dengan tidak menyerahkan harta terbabit ke dalam akaun persatuan, tetapi kepada isteri, anak dan miliknya. 

Tertuduh didapati melakukan enam kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Air Putih di Kuantan antara 8 Mei 2018 hingga 15 Jun 2021. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan, selain syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai. 

Bagaimanapun, peguam R Balabedha memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya sakit jantung dan memerlukan rawatan di hospital, telah bersara serta bergantung pada elaun daripada pekerjaan terdahulu untuk menyara keluarga termasuk isteri yang sering sakit dan seorang anak masih belajar.

Mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM18,000 bagi semua pertuduhan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS