Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siasatan polis dan tuduhan PM terhadap Mkini cemar imej kerajaan Madani'
Diterbitkan:  Aug 10, 2024 5:13 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Dua insiden membabitkan portal Malaysiakini telah mencalarkan imej kerajaan Madani, kata AJK pusat PSM, Nik Aziz Afiq.

Nik Aziz berkata insiden pertama membabitkan tiga wartawan Malaysiakini yang dipanggil polis semalam untuk memberi keterangan berhubung laporan mengenai rombakan dalaman PDRM.

Manakala insiden kedua adalah tuduhan perdana menteri sendiri terhadap Malaysiakini yang didakwa mengolah ucapannya berkenaan isu ringgit, yang sebenarnya merupakan laporan asal Bernama.

"Kedua-dua insiden ini begitu memalukan dan mencemar imej Madani itu sendiri.

"Di saat ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 negara jatuh 34 anak tangga, perlakuan pihak PDRM dan Anwar Ibrahim seakan mengesahkan lagi bahawa negara semakin menuju ke arah sekatan kebebasan media.

"Kami menggesa Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan pihak PDRM mengadakan permintaan maaf terbuka kepada Malaysiakini dan memberi jaminan kepada semua pihak media insiden sebegini tidak akan berulang lagi,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, polis memanggil tiga wartawan Malaysiakini berhubung laporan disiarkan portal berita itu mengenai kemungkinan berlaku rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan tertinggi polis.

Pegawai penyiasat antara lain bertanyakan kepada wartawan berkenaan identiti sumber yang dipetik dalam artikel itu.

Sebelum itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta wartawan terlibat memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan terhadap sumber berita.

Mengulas lanjut, Nik Aziz berkata sekiranya maklumat disiarkan portal berita tidak benar, ia memadai dengan penafian oleh ketua polis negara.

“Rakyat berhak tahu apa yang sedang berlaku, menyekat pihak media melaporkan samalah membawa maksud menyekat rakyat daripada mendapat akses maklumat terutama berkaitan agensi yang berkhidmat kepada rakyat.

"Membuka siasatan bahkan lebih teruk lagi gesaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya wartawan Malaysiakini bekerjasama kepada pihak polis adalah tindakan tidak sihat yang tidak dapat diterima sama sekali," katanya.

‘Pembulian yang cukup jahat’

Anwar pula semalam mendakwa seorang kolumnis Malaysiakini menggunakan perkataan berbeza dalam menterjemah kenyataannya mengenai prestasi ringgit.

Bagaimanapun, artikel itu ditulis berdasarkan laporan asal Bernama mengenai ucapan Anwar, di mana perdana menteri itu mengatakan ringgit kini berada dalam keadaan terkuat dalam tempoh 14 tahun.

"Anwar Ibrahim cuba menegaskan beliau tidak sebutkan bahawa ringgit di paras terkuat dalam masa 14 tahun yang menerima kecaman hebat dan cuba menuding kesalahan kepada pemberitaan Malaysiakini walaupun berita sama berasal daripada agensi berita kerajaan iaitu Bernama serta dilaporkan oleh banyak media lain.

"Ini adalah satu bentuk pembulian yang cukup jahat kerana mahu memberi persepsi tidak baik kepada kredibiliti dan etika Malaysiakini," katanya.

Pada 3 Mei lalu, Reporters Without Borders (RSF) mengeluarkan ranking Kebebasan Akhbar 2024, dengan kedudukan Malaysia merudum 34 anak tangga daripada 73 tahun lepas.

Buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun, Malaysia tidak lagi berada pada kedudukan tertinggi di negara Asean apabila Thailand menduduki tempat ke-87.

Fahmi bagaimanapun berkata kedudukan itu "tidak terlalu teruk" jika dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini.

Dia kemudiannya mendapat kecaman daripada pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, yang menegaskan Malaysia berada pada kedudukan lebih buruk daripada Israel pada kedudukan 101.

Fahmi kemudiannya membalas kenyataan itu dengan mengatakan: "Berbeza dengan Israel, kita tak bunuh orang seperti yang berlaku di Gaza".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS