Suspek kes bunuh kejam Istiqomah Ahmad Rozi, 33, di Johor bukan bekas kekasih mangsa, kata suaminya Mohd Yusof Mokhtar.
“...dia hanya rakan berniaga,” Yusof, 35, dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian dalam kunjungan ke rumahnya di Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.
Terdahulu, polis dilapor mengesahkan suspek kes pembunuhan itu merupakan bekas seorang guru dan bekas teman lelaki mangsa ketika di universiti.
Media melaporkan pembunuhan itu mungkin mempunyai kaitan dengan pelaburan tukaran wang asing atau forex.
Selepas lapan bulan, ujian DAN mengesahkan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki dalam tong sampah yang dicampak di parit di Alor Gajah, Melaka sebagai Istiqomah.
Perintah reman terhadap suspek berumur 37 tahun ditambah kepada tujuh hari lagi sehingga 19 Ogos.
Isteri suspek yang setahun lebih muda bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
Sementara itu, Yusof berharap dakwaan isterinya sebagai bekas kekasih suspek dapat diperbetul kerana ia mengundang tanggapan buruk.
"Pegawai polis di Ayer Keroh pun ada cakap dengan saya, jangan dengar pihak lain, kes ni saya (pegawai) yang siasat," katanya.
Katanya, polis mengesahkan mereka berjumpa untuk perniagaan.
"Mungkin bila dia minta gelang emas isteri saya tapi tak dapat lalu berlaku pergelutan.
“Ada kesan pada tangan isteri saya," dia dipetik sebagai berkata.
Cikgu Istiqomah tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 26 Disember lalu.
Mayatnya–yang ketika itu belum dikenal pasti–ditemui dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember.
Arwah meninggalkan tiga anak berumur empat, enam dan sembilan tahun.
