Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li kenang detik helikopter hampir terhempas di Gua Musang

PRK NENGGIRI | Dalam kesibukan berkempen, Tengku Razaleigh Hamzah sempat mengimbau kenangan yang hampir meragut nyawanya ketika dia mula-mula datang ke Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang.

Ketika berjumpa generasi pertama peneroka di Jeram Tekoh, Tengku Razaleigh menceritakan bagaimana helikopter yang dinaikinya untuk ke kampung itu hampir terhempas.

Kejadian itu, katanya, berlaku pada 1979 ketika dia menjadi menteri kewangan.

Menceritakan kejadian tersebut, ahli politik yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li itu berkata, dia rasa bertuah kerana masih dipanjangkan umur dan boleh berkhidmat kepada masyarakat Gua Musang.

Katanya, ketika itu dia bersama Mohamed Nasir (menteri besar Kelantan ketika itu) serta setiausaha politiknya Ibrahim Ahmad apabila helikopter terbabit mahu melakukan pendaratan di Jeram Tekoh.

"Jeram Tekoh ini bagi ambo (saya) tempat yang bertuah kerana ambo tak mati di sini, masih panjang umur, bambo kata tak jadi tempat ambo mati.

"Sebab semasa awal mula datang nak rasmi Jeram Tekoh ambo dengan Mohamed Nasir datang nak rasmi bagi memulakan pembukaan tanah rancangan di Jeram Tekoh

“…semasa nak mendarat helikopter tiba-tiba menjadi laju turun ke bawah (menjunam)," katanya ketika berucap di majlis bertemu dengan generasi pertama warga Jeram Tekoh.

PM rasa kecewa tanah nak digadai

Namun, kata pengarah pilihan raya PRK Nenggiri itu lagi, mereka terselamat kerana juruterbangnya merupakan orang yang berpengalaman dan dia berjaya mengawal pesawat udara berkenaan daripada mengalami kemalangan.

Kata Tengku Razaleigh lagi juruterbang berkenaan sempat mengelak pokok kelapa yang ada di kawasan pendaratan sebelum membuat pusingan sebanyak dua kali.

Kemudian, katanya, barulah mereka selamat mendarat.

"Panjang umur tuhan beri boleh jumpa lagi," katanya.

Tengku Razaleigh hari ini mula bertemu masyarakat tempatan untuk berkempen bagi membantu calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, dalam PRK yang akan berlangsung 17 Ogos ini.

PRK tersebut menyaksikan menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon BN dengan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail.

Menceritakan bagaimana kejadian hampir berakhir dengan tragedi itu hampir berlaku, Tengku Razaleig berkata, ia bermula apabila setiausaha politiknya terlelap.

"Kakinya tertekan pedal minyak helikopter dan tak ada sesiapa sedar tiba-tiba helikopter berpusing turun dengan laju.

"Saya fikir waktu itu, habislah mati dah... Saya pandang Mohamed Nasir dan beliau pandang saya," katanya lagi.

Sementara itu Tengku Razaleigh turut mengimbau bagaimana dia berusaha mendapatkan kembali tanah Gua Musang yang digadai kerajaan PAS Kelantan kepada syarikat dari Singapura.

Pada masa itu bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein cukup kecewa dengan apa yang berlaku.

"Tahun (sekitar) 1960, 1961... seluruh kawasan ini 350,000 ekar tanah yang subur-subur kawasan kita ini telah digadai kepada satu syarikat asing dan Tun Razak cukup rasa dukacita," katanya.

Tambah Tengku Razaleigh lagi, disebabkan negara baru saja mencapai kemerdekaan banyak yang perlu dilakukan untuk rakyat.

"Rakyat nak miliki tanah sekeping yang kecil pun tak dapat. Jadi jika ini (gadaian) pula berlaku, kecewalah pemimpin pusat," katanya lagi.

Atas arahan Abdul Razak, kata Tengku Razaleigh, dia berunding semula dengan syarikat terbabit sebelum berjaya mendapatkan semua tanah berkenaan dengan kos yang murah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS