Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isunya ialah tiada kerajaan perpaduan di Johor, kata Amanah Kluang
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 11:25 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

PRK MAHKOTA | Amanah Kluang hari ini mendakwa tuntutan mereka ke atas kerusi DUN Mahkota yang kosong sekarang dibuat kerana di Johor belum ada kerajaan perpaduan dibentuk.

Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata isu mengenai calon yang akan mewakili kerajaan di DUN berkenaan belum dibincangkan para pemimpin parti.

Katanya ketika ini pendirian Amanah kawasan itu ialah bersedia bertanding untuk PRK akan datang dan kekal sehinggalah ada keputusan dibuat pucuk pimpinan tertinggi parti.

Justeru, kata Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu, pandangan diberikan Presiden Umno kelmarin agar tiada mana-mana pemimpin - besar atau kecil - menuntut kerusi tersebut adalah tidak menjelaskan keadaan sebenar.

Dia juga menafikan Amanah tidak menghayati semangat kerajaan perpaduan yang dibentuk sebelum ini.

"Beliau (Ahmad Zahid) menyatakan kami menuntut kerusi BN itu tidak tepat kerana di Johor belum ada kerajaan perpaduan.

"Beliau seharusnya segera menasihatkan Dato’ Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Umno Johor agar mengumpulkan pucuk pimpinan PH dan BN untuk berbincang isu ini segera.

"Fokuskan isu kerajaan perpaduan di Johor secara tuntas, kemudian baru kita buat keputusan siapa calon DUN Mahkota," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berkawan dalam rumah sama

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, pada pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Sept ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota. Jika terdapat pertandingan pemilih di kawasan terbabit akan mengundi bagi memilih pengganti Sharifah Azizah pada 28 Sept.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 Sharifah Azizah mengalahkan tiga calon lain untuk memenangi kerusi Mahkota dengan kelebihan 5,166 undi.

Onn Hafiz Ghazi

Sebelum itu dalam PRN terdahulu - yang dijalankan serentak dengan PRU ke-14 - kerusi Mahkota dimenangi calon Amanah, Muhamad Said Jonit, dengan majoriti 1,668 undi.

Mahkota dianggap kawasan selamat buat BN kerana sebelum 2018 tiada parti lain berjaya memenangi kerusi tersebut. Pengundi Melayu membentu lebih separuh daripada keseluruhan pemilih di kawasan berkenaan.

Untuk rekod ketika PRN Johor diadakan, kerajaan perpaduan belum dibentuk kerana ia hanya berlaku selepas PRU ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov 2022, iaitu kira-kira lapan bulan selepas BN mentadbir negeri tersebut.

Mohd Zuhan berkata dalam kenyataan awalnya dia menegaskan bahawa Johor bukan ditadbir oleh kerajaan perpaduan sebaliknya digambarkan sebagai "berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan."

Justeru katanya pemimpin tertinggi parti kerajaan wajar berbincang dan bukannya melatah.

"Buat apa melatah? Kami pemimpin kecil dari kawasan sahaja. Suara saya adalah suara akar umbi Amanah Kluang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS