Kira-kira 90 peratus pelajar kaum Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), kata bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah.

Keadaan itu, katanya, telah menggagalkan pencapaian matlamat pelbagai kaum belajar di bawah "satu bumbung" di sekolah kebangsaan.

Hanya 10 peratus kaum Cina belajar di sekolah kebangsaan manakala bakinya memilih SJKC, katanya di "Forum Merdeka: Sembang Kopi `O' Nasi Lemak" anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) semalam.

Menurut Bernama, forum berbentuk pengisian intelektual itu menampilkan lebih 100 tokoh pelbagai bidang yang berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai pencapaian negara selepas merdeka

"Pengasingan kaum sekarang amat buruk di sekolah-sekolah. Jika dulu kita dapat lihat pelajar Melayu, India dan Cina boleh makan sekali, kini budaya itu tidak lagi wujud. Kita perlu lihat masa depan generasi kita," tegasnya.

Dr Abdul Shukor juga berkata penggunaan bahasa Malaysia atau lebih selesa beliau sebut bahasa Melayu kini tidak seunggul dulu, malah semakin ketinggalan.

Menurutnya, walaupun negara mencapai kemajuan dalam bidang kokurikulum berbanding negara Afrika, namun dari sudut sistem persekolahan, Malaysia gagal menjadikan bahasa Malaysia sebagai `bahasa penyatuan dalam sistem persekolahan kebangsaan'.

Kontrak sosial

"Perjuangan bahasa Melayu dulu sangat hebat hingga bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Yakub pada 1969 pernah membuat satu keputusan mengejutkan untuk memansuhkan aliran bahasa Inggeris secara berperingkat walau tanpa keizinan kabinet," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Linguistik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Sariyan, yang memberi pandangan yang sama berkata keadaan semakin parah apabila generasi muda gagal menguasai bahasa Malaysia dan menerimanya sebagai bahasa rasmi seperti yang terkandung dalam kontrak sosial.

Bahasa Melayu, tegas Awang, sangat gemilang bermula kurun ketujuh apabila digunakan bagi urusan rasmi perdagangan oleh pedagang pelbagai negara termasuk Eropah hingga ke kurun ke 16.

Seorang lagi pakar bahasa, Profesor Emiritus Datuk Dr Nik Safiah Karim pula berkata tidak wajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk menggunakan Inggeris kerana bahasa Malaysia adalah bahasa pengantar utama dari sekolah rendah ke peringkat tertinggi.

Katanya, keghairahan menggunakan bahasa Inggeris oleh 500 buah IPT swasta di seluruh negara sekarang seolah-olah bahasa itu sebagai bahasa utama negara.

"Dari segi praktikal, bahasa Melayu tidak ke mana. Walau dalam perlembagaan menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan tetapi selepas 50 tahun negara merdeka, bahasa Melayu masih di takuk lama," katanya.

Antara tokoh yang hadir ialah bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd Khir; bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Dr Adi Tahar; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir; Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Hassan Ahmad, dan Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) Feriz Omar.