Muhyiddin Yassin berharap polis menjalankan siasatan secara telus, adil dan saksama menurut undang-undang dalam isu pelantikan perdana menteri sebelum ini.
“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung bawah kebesaran dan kemuliaan raja-raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi raja berperlembagaan jangan dipersoalkan,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dinyatakannya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media selepas memberikan keterangan dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada polis di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Muhyiddin menyerahkan 115 akuan berkanun (SD) yang menyokongnya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.
Dia disiasat kerana membuat kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak memanggilnya untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun mempunyai cukup sokongan anggota parlimen.
Kenyataan itu menimbulkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerana dianggap “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi agong.
Sebanyak 30 laporan polis dibuat di seluruh negara, termasuk oleh Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah.
Sementara itu, Muhyiddin juga berkata dia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan “fakta-fakta” dalam ucapannya dalam kempen pilihan raya kecil Nenggiri, Kelantan.
Katanya, dia tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja dan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU15 hanya disebut sepintas lalu.
Dia justeru mendakwa terdapat pihak memutar belit ucapannya, termasuk menyunting video itu dengan niat memfitnah.
Anggota parlimen Pagoh itu berkata, dia tidak pernah mempertikai keputusan Agong sebelum ini.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.
“Perkara ini pun telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini,” katanya.
Muhyiddin juga berkata dia tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai perdana menteri, malah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri kesepuluh Anwar Ibrahim pada 24 November 2022.
