PAU 2024 | Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi penegasan bahawa pembebasan Najib Razak tetap menjadi agenda parti itu dan ia tidak pernah terhenti.
Tegas Ahmad Zahid, jika ada yang mempersoal pendirian Umno dalam isu pembebasan Najib, pendirian parti tetap teguh.
"Saudara-saudari sekalian, pada masa yang sama kita juga tidak pernah lupa akan perjuangan untuk membela sahabat yang juga pemimpin kita yang masih berada di belakang tirai besi.
"Seperti yang saya jelaskan semasa taklimat presiden kelmarin, perjuangan kita untuk membela Datuk Seri Najib Razak tidak pernah terhenti.
"Jika ada yang masih bertanyakan komitmen - pendirian parti tetap teguh," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, perjuangan itu tidak akan terhenti selagi mana Najib tidak mendapat pembelaan seadilnya.
Dia juga tidak mempedulikan pihak yang mempertikai afidavit sokongan berhubung tidak adendum Najib.
"Walau ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum, yang diikrarkan oleh saya dan Datuk Seri Wan Rosdy, mengenai pelaksanaan baki hukuman Datuk Seri Najib menerusi tahanan rumah (house arrest), ia adalah bukti komitmen kita tidak pernah goyah.
"Insya-Allah kita tidak akan berhenti selagi nasib bossku tidak mendapat pembelaan," katanya.
Terdahulu, ketika sesi pembentangan oleh Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan usul pengampunan penuh terhadap Najib paling banyak diterima oleh ibu pejabat parti itu sempena PAU2024.

Asyraf berkata 72 daripada 171 bahagian yang telah bermesyuarat, mengusulkan perkara itu di ibu pejabat parti.
“Ibu pejabat menerima usul daripada 171 bahagian. Usul tertinggi yang diperoleh daripada 72 bahagian adalah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh kepada ‘bossku’, Najib.
“Sesungguhnya selagi ‘bossku’ terperangkap di sebalik tirai besi, suara dan ikhtiar Umno tidak akan pernah terhenti," katanya.
