PAU 2024 | MCA menyambut baik keputusan Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kesemua calon daripada parti itu akan bertanding menggunakan logo “dacing” iaitu BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata ketetapan yang dibuat Presiden Umno itu adalah sesuatu yang “diidam-idamkan” rakan kompenan parti itu.
“Itu sesuatu yang memang diidamkan. Bagi kita BN satu parti sudah memerintah agak lama. Kita lalui zaman susah, berliku-liku pada tahun 2018,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Kelmarin, Ahmad Zahid berkata kesemua calon daripada parti itu akan bertanding menggunakan logo “dacing” iaitu BN dalam siri pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, pengerusi BN itu berkata Umno akan meneruskan kerjasama dengan kesemua 18 parti yang kini membentuk kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
‘Perkukuhkan BN dahulu’
Sementara itu mengulas pendirian MCA keperluan untuk BN bergerak solo, Wee berkata BN perlu memperkukuhkan gabungan tersebut terlebih dahulu.
Wee berkata ini disebabkan parti-parti komponen di dalam BN bertanding atas tiket gabungan itu sejak dari dulu lagi.
"Kita seharusnya masing-masing parti (dalam) BN perkukuhkan parti komponen sendiri.

"Kedua memberi keupayaan dan lihat BN sebagai prioriti penting kita untuk perkukuhkan.
"Jaga keluarga kita dulu. Sepatutnya BN 'first'. Sebab kita bertanding atas tiket BN. Selama ini tidak pernah tidak (bertanding atas tiket BN)," katanya.
Dalam pada itu, Wee turut menegaskan isu kesetiaan MCA kepada BN tidak pernah timbul kerana parti itu antara parti terawal menyertai BN dan masih setia dalam gabungan itu sehingga hari ini.
"Masalah kesetiaan ini tidak pernah bangkit sebab kita yang (antara) tubuhkan BN.
"Inilah semangat dalam BN sehingga sekarang," katanya.
Pada 7 Mei lalu, Wee dilapor berkata parti itu tidak akan teragak-agak bergerak secara solo pada PRU16 jika Umno berdegil untuk tetap bekerjasama dengan DAP.
Dia menegaskan banyak keputusan dibuat Ahmad Zahid bersifat ‘unilateral’ atau sebelah pihak, termasuk pendirian mahu kerjasama antara BN dan PH diteruskan pada PRU16.
