Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangguh projek di lokasi padat penduduk, gesa MP DAP
Diterbitkan:  Aug 24, 2024 8:50 AM
Dikemaskini: 12:50 AM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan projek pembangunan di kawasan berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur berikutan kejadian banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

Dalam kenyataannya Kok berkata pendekatan tersebut perlu diambil terutamanya di kawasan yang rendah serta petempatan di sekitar tempat tadahan air.

“Semalam (Khamis), hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Segambut, Kampung Baru, Seri Semarak, Taman Bunga Raya, dan tempat letak kereta terbuka berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Selain itu, hujan lebat berturut-turut turut mengakibatkan tanah runtuh di Jalan Genting Kelang sehingga 52 penduduk diarah meninggalkan kawasan terbabit,” kata ahli parlimen DAP itu malam tadi.

Kok yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata hujan lebat yang kerap menunjukkan kesan perubahan iklim, dan sistem perparitan di Kuala Lumpur tidak dapat menampung pembangunan berkepadatan tinggi yang pesat pada masa ini.

“Jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terus meluluskan projek pembangunan berkepadatan tinggi tanpa memperbesarkan saliran serta mendalamkan sungai di Kuala Lumpur, maka kita akan melihat banjir kilat lebih kerap berlaku pada masa hadapan.

“Justeru, saya ingin meminta kerajaan mengkaji semula projek pembangunan perumahan yang menggunakan tanah seluas 4.4 ekar di Kolam Takungan Banjir (KTB) Kampung Bohol dan tanah sekitarnya.

"Juga projek pembangunan berkepadatan tinggi di Taman Desa oleh Mah Sing Group di tapak berhampiran dengan KTB Taman Desa yang menerima air disalurkan dari Kuala Lumpur melalui Smart Tunnel,” kata Kok.

Dia kemudian menggesa kerajaan mengkaji semula dasar pembangunan perumahan Madani berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur yang menurutnya merosakkan keseimbangan ekologi dan menjejaskan aliran trafik di bandar raya.

Selain itu, tambah Kok, kerajaan harus mempergiatkan usaha membersihkan terowong, membesarkan parit dan mendalamkan sungai terutama di kawasan yang sering dinaiki air.

“Saya menyeru datuk bandar baru, Maimumah Mohd Sharif yang pernah memegang jawatan pengarah eksekutif UN Habitat untuk mempromosikan konsep bandar hijau di Kuala Lumpur dan menambah lebih banyak taman rekreasi serta landskap hijau bagi meningkatkan keupayaan tanah menyerap air dan mengurangkan risiko tanah runtuh.

"Saya berharap datuk bandar baru ini juga akan cuba menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang melaksanakan pembangunan mampan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS