ULASAN | Kempen #UbahSegera dilancarkan oleh aktivis pendidikan dikenali ramai bagi menggalakkan pengguna media sosial menyerbu dan meninggalkan tanda pagar itu di laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ia bermula dengan kekecewaan mereka terhadap silibus yang didakwa terlalu sukar ketimbang umur dan sistem pentaksiran bilik darjah (PBD) yang dianggap mengelirukan.
Kempen itu disemarakkan lagi dengan video tular seorang anak kecil yang menangis kerana tidak boleh membaca walaupun sudah bersekolah. Ia mudah menggoncang emosi seterusnya dijadikan bukti bahawa KPM tidak melakukan apa-apa untuk membetulkan kelemahan sistem pendidikan yang diwarisi sejak sekian lama.
Sebagai respon, KPM mengeluarkan semula berita Mac 2024 yang menerangkan usaha untuk membetulkan isu tersebut.
Segala proses dibuat mengambil masa yang lama kerana melibatkan kajian mendalam dan ramai pemegang taruh. Setiap perubahan yang diambil perlu dilaksanakan dengan berhati-hati kerana cubaan menukar semula atau membuat pusingan U akan membazirkan masa satu generasi.
Ia adalah risiko yang terlalu besar.
Ternyata kempen #UbahSegera itu terlambat lima bulan. Namun, isu pendidikan ini bukanlah tujuan tulisan ini, sebaliknya gaya kempen yang diusulkan.
Aspek budaya tempatan
Pertama, desakan untuk mengubah segera sistem pendidikan tanpa proses kajian mendalam dan melibatkan pakar pendidikan bertauliah adalah langkah cuai lagi tidak bertanggungjawab.
Malah, membandingkan secara semberono sistem pendidikan luar negara tanpa mengambil kira realiti ekonomi dan citra tempatan juga adalah tindakan syok sendiri.
Sistem luar negara yang dirujuk itu dilaksanakan melalui pendanaan sekolah yang diperolehi daripada cukai pendapatan yang tinggi. Sudah tentu realiti di negara terbabit berbeza dengan Malaysia yang rata-rata rakyatnya mahukan subsidi dalam segala hal.
Kalau boleh yuran PIBG juga mahu disubsidi.
Selain itu kita perlu melihat semula jumlah masa digunakan pelajar kita untuk Pendidikan Islam seperti tulisan Jawi, Ulum, al-Quran, tasmik dan bahasa Arab berbanding matapelajaran STEM iaitu Matematik dan Sains.
Ini yang dimaksudkan dengan aspek budaya tempatan.
Jika mahu mengikut negara luar pun, adakah kita berani menggantikan masa atau memanjangkan lagi tempoh pembelajaran di sekolah? Pastinya kita perlu bertanyakan kepada pakar pedagogi dan kaji bagaimana kesannya terhadap beban kerja guru, keadaan mental pelajar dan ibu bapa, dan kemampuan ekonomi.
Kalau mahu pendekkan masa tentunya menerbitkan polemik baru yang akan digunakan sepenuhnya bukan untuk masa depan pendidikan, sebaliknya demi laba politik.

Kedua, peserta kempen itu agak meragukan. Kempen yang meminta orang ramai menggunakan tanda pagar #UbahSegera di Facebook KPM tampak aneh apabila terlalu banyak akaun bermirip laskar siber.
Siapa itu laskar siber? Jika dulu istilah tersebut hanya digunakan untuk melabel individu yang dibayar bagi melaksanakan kerja-kerja politik, kini bot atau cybertrooper dibayar untuk mencipta persepsi termasuk dalam dunia perniagaan.
Untuk mengenali akaun-akaun bot atau cybertrooper, kita boleh ukur melalui interaksi yang dibuat: apa hantaran sebelumnya, adakah komentar bernilai atau sekadar video hiburan tular dan pautan promosi bisnes.
Bot atau cybertrooper selalunya gagal untuk berinteraksi seperti manusia, tidak mampu memberi ulasan bermakna dengan orang sekeliling.
Mungkin agenda pihak tertentu
Mereka juga sangat jarang meletakkan gambar muka sendiri, dan jika mereka mencuri foto orang lain ia sekadar untuk membuat imej profil. Tiada gambar ucapan hari lahir atau hari raya sepertimana yang manusia biasa lakukan.
Dua kriteria di atas harus dinilai lebih halus lagi memandangkan sekarang ada trend menggodam akaun pengguna yang lama tidak aktif dan gunakan sebagai pemuka bot atau cybertrooper.
Hasilnya pemerhatian rawak hampir separuh yang menyertai kempen komen di Facebook KPM bukanlah akaun yang tulen. Malah ada juga komen yang berhalusinasi menggunakan tanda pagar yang salah.
Ia adalah simptom yang kerap terjadi dalam penghasilan tulisan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Jika anda fikir menggunakan bot atau cybertrooper untuk mencipta persepsi itu sangat sukar, sebenarnya anda hanya perlu menaip kata kunci yang betul di laman seperti Shopee dan perkhidmatan seperti itu akan muncul dengan bayaran sekitar RM1 untuk satu komen.
Bukan saya berniat menuduh mana-mana pihak menggunakan teknik ini untuk mencipta persepsi bahawa kempen menyerbu KPM mendapat sambutan besar.

Namun terdapat risiko yang kempen ini telah disamun untuk kepentingan pihak tertentu.
Hujungnya, walaupun kuasa tular adalah senjata yang ampuh namun ia tidak patut digunakan sewenang-wenangnya terutamanya yang melibatkan polisi jangan masa panjang dan sumber yang besar.
Hakikatnya pendidikan di sekolah tidak boleh berhenti sementara mencari formula baru yang lebih teruji.
Satu lagi, ukurlah baju di badan sendiri. Walaupun kita mahu pendidikan yang terbaik setanding negara-negara maju, adakah kita mampu dari segi pendanaan dan mengubah mentaliti masyarakat dalam masa yang singkat?
Ini bukan proses menyiapkan mi segera yang boleh selesai dalam tempoh tiga minit!
Tepuk dada tanya akal.
ZULFADZLI HALIM merupakan mantan jurutera pesawat terbang yang kini menjadi penganalisis media dan aktivis pendidikan STEAM.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
