Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Umno Mohd Puad Zarkashi menyarankan Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, bekas perdana menteri itu yang didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, di Gua Musang, pada 14 Ogos lalu tidak wajar menjadikan alasan dia belum dihukum bersalah untuk tidak berundur.
“Tidak payahlah guna alasan bahawa dia belum dihukum bersalah.
“Ini berkaitan integriti. Dia didakwa rasuah kerana isu Jana Wibawa. Hari ini pula dia didakwa kerana isu 3R (raja, agama dan kaum).
“Menantunya belum menyerah diri dan Bersatu kalah teruk di Nenggiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Puad berkata, Muhyiddin sepatutnya mencontohi bekas presiden Umno, Najib Razak yang kini meringkuk di Penjara Kajang.
“(Najib) dia letak jawatan bila BN kalah PRU ke-14. Ketika itu dia belum didakwa pun.
“Tetapi kenapa dengan baggage yang berat masih mahu kekal jawatan. PAS (pula) bisu kerana masih keliru siapa dajal,” sindirnya.

Sebelum ini, dilabel lebih teruk daripada Dajal, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada hakikatnya yang bersifat dajal ialah PAS sendiri.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan Umno sebuah parti rosak dan meneruskan agenda kebendaan bagi menegakkan kerajaan.
Presiden Bersatu itu hari ini dihadapkan ke mahkamah dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen pilihan raya kecil Nenggiri, awal bulan ini.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini mendakwa mendapat sokongan 115 ahli Parlimen dalam bentuk akuan berkanun (SD), yang dikatakan mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri, susulan keputusan pilihan raya umum ke -15 yang menyaksikan parlimen tergantung.
Dia mendakwa, bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong tidak memanggilnya untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Kenyataan itu dilihat sebagai mempertikai tugas dan kewibawaan Baginda sehingga menimbulkan kemarahan pihak istana Pahang, yang kemudiannya membuat laporan polis.
