Tidak siapa boleh paksa M'sia, kata Presiden Indonesia

   

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata tiada siapa yang boleh memaksa Malaysia untuk meminta maaf berikutan kejadian membabitkan anggota polisnya yang didakwa memukul seorang juri karate Indonesia yang berada di Malaysia bagi mengadili kejohanan karate.

"Mengenai mengapa mereka tidak meminta maaf kepada Indonesia, anda (wartawan) sudah pasti tidak boleh memaksa kerajaan Malaysia atau polis untuk memohon maaf dalam kes seperti ini. Kerana, pada pandangan saya, kesediaan untuk memohon maaf (bagi kesalahan yang dilakukan) adalah sebahagian daripada sikap pihak berkenaan," kata President itu di pejabatnya di Jakarta

Menurut Bernama, Susilo membuat kenyataan itu selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi Jumaat lalu, Donald Luther Kalapita mendakwa dipukul empat anggota polis berpakaian awam ketika beliau berjalan dari Stadium Tertutup Nilai ke hotel penginapannya berikutan sukar mendapatkan teksi.

Kejadian itu menyebabkan beliau mengalami beberapa kecederaan di badannya termasuk patah tulang rusuk, bengkak dan lebam di muka.

Semangat setiakawan

Bagi membantah kejadian itu, Indonesia menarik diri daripada acara karate yang dijadualkan.

Susilo berkata beliau memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura tahun lalu apabila kedua-dua negara itu mengalami jerebu ekoran dari kebakaran hutan di Indonesia.

"Saya memohon maaf secara ikhlas. Jadi sekarang, dalam kes terbaru ini, saya serahkan kepada pihak Malaysia. Bagi saya, keadilan dan undang-undang mesti ditegakkan dan semangat setiakawan sudah tentu perlu dipelihara, termasuk bagaimana kita perlu menguruskan perkara seperti ini dengan penuh persefahaman bersama, dengan mengambil kira perasaan kami, perasaan Indonesia," katanya yang dipetik agensi berita Antara.

Beliau berkata kerajaan Indonesia menghargai tanggungjawab dan komitmen kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan undang-undang dalam kes ini dengan menghukum mereka yang didapati bersalah.

"Saya hargai komitmen (Malaysia) kerana kes ini agak serius, perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Oleh itu, saya mahu undang-undang dan keadilan dilaksanakan. Inilah yang saya tegaskan kepada Menteri Luar Malaysia dan ketua polis," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In