Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa kebebasan bersuara semakin berkurang pada masa ini dan polis menurutnya tidak bertindak apabila ada "rakyat disimbah asid, ditumbuk".
Mahathir dipercayai merujuk kepada kes pemain bola sepak negara Faisal Halim, yang disimbah asid di pusat beli-belah, dan kejadian pemandu e-hailing pekak Ong Ing Keong, yang ditumbuk polis pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di luar sebuah hotel.
Dalam catatan blog terbarunya, yang dibuat selepas pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin didakwa di bawah Akta Hasutan dan menjelang sambutan Merdeka, Mahathir berkata kemerdekaan bermaksud “bebas dari dikuasai oleh orang, bebas dari tekanan, bebas dari kezaliman kerajaan."
Menyorot perjuangan menentang British untuk kebebasan, ahli politik berusia 99 tahun itu mendakwa rakyat Malaysia ketika ini masih tidak bebas.
"Tetapi hari ini rakyat sudah tidak bebas bersuara, tidak boleh bercakap berkenaan 3R (kaum, agama atau raja)," katanya, sambil menambah bahawa orang ramai tidak ditahan ketika bercakap mengenai isu-isu ini pada era sebelum kemerdekaan.
"Tapi sekarang pelbagai sekatan dikena. Sentuh 3R polis akan panggil dan dakwaan dibuat. Walhal 3R tidak melalui proses membuat undang-undang. Pernyataan oleh PM adalah undang-undang. Lulusan Dewan Rakyat tidak perlu.
Mahathir seterusnya membandingkan bahawa semasa era British rakyat bebas untuk mengkritik kerajaan British dan Malayan Union yang dicadangkan.
"Kita boleh ada rapat umum dan demo jalanan tanpa kelulusan oleh Kerajaan, Badan sukarelawan, iaitu NGO, boleh diadakan.
"Kita boleh cakap berkenaan 3R dan tidak dipanggil oleh polis untuk disoal ataupun ditahan di zaman sebelum merdeka," katanya.
Perlu diingat bahawa semasa Mahathir sendiri sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003 terdapat banyak sekatan terhadap kebebasan akhbar dan perhimpunan awam, serta serangan yang dilihat terhadap kebebasan badan kehakiman.
Ini mencapai kemuncak semasa Ops Lalang pada tahun 1987 apabila lebih 100 orang telah ditahan dan akhbar seperti The Star telah ditutup. Satu lagi gelombang penindasan menyusul semasa kelahiran Reformasi pada 1998 apabila timbalannya ketika itu, Anwar Ibrahim dipecat sehingga mencetuskan protes jalanan besar-besaran.
Mahathir dalam catatan terbarunya mendakwa bahawa di Malaysia hari ini kata-kata PM adalah undang-undang.
"Media sosial juga akan disekat. Tidak akan ada kebebasan yang dijanji. Jadi siapa yang menikmati merdeka atau kebebasan? Yang menikmati merdeka ialah kerajaan.
"Tuduhan yang tidak berasas boleh dibuat oleh kerajaan dan siasatan dilakukan. Rakyat yang tidak salah pun boleh dipaksa melapor pendapatan dan perbelanjaan selama berpuluh tahun. Tidak patuh akan didenda atau dipenjara.
Siasatan boleh ambil masa yang panjang sehingga perbicaraan bertahun-tahun lamanya," tambah Mahathir dipercayai merujuk siasatan SPRM terhadap anak lelakinya Mirzan dan Mokhzani.
"Tekanan boleh dibuat oleh kerajaan tanpa sebab supaya punca kekayaan dijelas. Harta boleh ditahan sehingga menjadi tekanan ke atas pemilik. Tahanan harta tidak terhad masa. Pasport boleh dirampas," katanya lagi.
Dia mendakwa bahawa Kerajaan, jika mahu, boleh menghentikan perbicaraan terhadap penjenayah yang dituduh.
“Kesalahan yang kecil dipenjara tetapi kesalahan yang besar dikurang hukum dan mungkin dibebas.
"Banyaklah lagi sekatan yang dibuat oleh kerajaan yang menunjuk kebebasan kerajaan dan menidakkan kebebasan (Merdeka) rakyat.
"Kerajaan sudah menjadi 'Abang Besar' yang akan tentu apa kita boleh buat dan tak boleh buat," tambahnya.
Istilah "Abang Besar" atau Big Brother merujuk kepada watak dan simbol dalam novel Nineteen Eighty-Four oleh George Orwell.
Dalam forum politik istilah itu sering dugunakan bagi merujuk kepada pemimpin totalitarian yang mengawal dan memantau segala aktiviti rakyat.
