Kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan membincangkan rancangan Parti Progresif Rakyat (MyPPP) untuk kembali sebagai komponen teras gabungan itu.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinannya bahawa pemimpin gabungannya akan bersimpati dengan nasib parti itu.
“Saya tahu parti ini telah melalui pasang surut dalam mengharungi arus politik tanah air dan mereka akhirnya telah dapat keputusan yang muktamad daripada mahkamah bahawa perpisahan kepada parti ini dari segi perundangan tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Untuk itu kita akan membawa rayuan yang dibuat oleh kepimpinan (MyPPP) untuk melihat keputusan yang dibuat oleh kepimpinan terdahulu," katanya pada sidang media pada perhimpunan agung tahunan MyPPP ke-71 di WTCKL hari ini.
Kata Zahid, keputusan majlis tertinggi BN akan berdasarkan perlembagaan gabungan itu, yang menuntut undi sebulat suara, sambil menambah bahawa isu itu boleh diatasi dengan perbincangan.
MyPPP mempunyai dua fasa yang berbeza - yang pertama sebagai parti pembangkang yang disegani dari 1950-an hingga 1970-an apabila ia diketuai oleh adik beradik Seenivasagam.
Kubu kuatnya ialah Perak dan ia mengetuai pentadbiran Ipoh.
Fasa kedua adalah sebagai parti kecil dalam gabungan BN yang hanya memenangi satu kerusi parlimen dalam tempoh lebih empat dekad dan penuh dengan pertikaian antara kem.
Untuk sebahagian besar fasa kedua ia diketuai oleh M Kayveas yang digulingkan selepas pertikaian antara kem dengan mendiang Maglin Dennis D'Cruz pada 2019.
Kayveas mahu mengeluarkan parti itu daripada BN berikutan kekalahannya pada pilihan raya 2018.
Pada 2019, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran parti itu kerana ketua kedua-dua kem mendakwa sebagai pemimpin sah MyPPP.
Tahun lepas, Kementerian Dalam Negeri memutuskan memihak kepada kem D’Cruz, sekali gus membatalkan pendaftaran RoS parti itu.
Bagaimanapun D'Cruz meninggal dunia pada November 2023, meninggalkan Loga Bala Mohan sebagai pemangku presiden.
Sementara itu, dalam sidang media, Loga berkata, partinya tidak pernah meninggalkan BN.
Tambahnya, dia pernah bertanding sebagai calon BN di Segambut pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
“Jadi, perkara pimpinan BN mengatakan MyPPP keluar gabungan tidak timbul.
“Saya percaya Zahid mendapat sedikit kejelasan hari ini. Saya harap dia dapat jelaskan bahawa MyPPP tidak pernah meninggalkan BN,” katanya.
