Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di setiap jabatan kerajaan bukan untuk tujuan penggubalan dasar.
Sebaliknya, menurut laporan The Star, Na’im dipetik sebagai berkata meskipun pegawai Jakim ditempatkan di agensi dan jabatan kerajaan, peranan mereka terhad kepada penganjuran program agama Islam.
“Ia tidak benar. Jakim hanya menganjurkan program keagamaan,” katanya memetik kenyataan yang dikeluarkan jabatannya awal bulan lalu.
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa bukan pentadbiran persekutuan semasa di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membuat keputusan untuk menempatkan pegawai Jakim di setiap jabatan kerajaan.
Sebaliknya, dasar itu digubal di bawah beberapa pentadbiran berbeza bermula dari 1980-an hingga awal 2000-an.
Semalam, MCCBCHST melahirkan kebimbangan bahawa penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan boleh menjejaskan jaminan perlembagaan, termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan media bersama mereka, kumpulan pelbagai agama itu merujuk laporan yang memetik Naib Presiden LDP David Ong yang menimbulkan kebimbangannya berhubung laporan bahawa pegawai Jakim akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan dasar dan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.
Menurut Jakim, jawatan pegawai hal ehwal Islam diwujudkan berikutan keperluan mengurus hal berkaitan Islam selaras dengan pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Murni yang dilaksanakan sejak awal 1980-an.
Penempatan pegawai Jakim bermula pada 1982 dengan atase di London dan Indonesia, sejurus selepas Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan perdana menteri.
Ia diikuti dengan pelantikan di Jabatan Pertanian, Jabatan Penjara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara serta beberapa agensi kerajaan lain.
Pada tahun 2001, kerajaan telah mengeluarkan pekeliling umum mengenai garis panduan Pengendalian Syarahan Penyerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Perkhidmatan Awam. Kemudian, di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari pada 2007.
“Bagi memudahkan pelaksanaannya, pegawai Jakim ditempatkan di semua kementerian, jabatan dan agensi persekutuan, serta di beberapa agensi perkhidmatan peringkat negeri,” petik kenyataan itu bulan lepas.
Jakim berkata kerajaan secara konsisten memartabatkan dan menjaga Islam serta kesucian agama itu, selaras dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
