Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1BestariNet: Panggil Muhyiddin, Najib? Bergantung siasatan, kata SPRM
Diterbitkan:  Sep 6, 2024 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

SPRM masih belum memutuskan sama ada mereka akan memanggil bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Najib Razak atau tidak berhubung kes tuntutan palsu 1BestariNet.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, penyiasat masih meneliti kes itu dan akan memutuskan pihak yang perlu dipanggil memberi kenyataan.

"Bergantung kepada penemuan siasatan kami," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini, ketika ditanya mengenai perkara itu.

“Kami akan memanggil pihak yang terlibat,” tambah Azam.

Dilaporkan bahawa SPRM baru-baru ini melancarkan siasatan ke atas 1BestariNet, projek yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011 oleh Kementerian Pendidikan berhubung dakwaan pembayaran untuk tuntutan palsu.

Program RM4.47 bilion itu yang dianugerahkan melalui tender terbuka, bertujuan untuk melengkapkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan perkhidmatan jalur lebar dan untuk mewujudkan laman pembelajaran maya.

Muhyiddin Yassin adalah menteri pendidikan ketika itu, manakala Najib Razak adalah perdana menteri.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, SPRM telah menyerbu pejabat YTL dan sebuah pejabat kerajaan, kedua-duanya di Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Menurut sumber SPRM, dalam serbuan itu, beberapa dokumen dirampas dan SPRM sedang berusaha mengenal pasti saksi untuk dipanggil bagi keterangan dan membantu siasatan.

Siasatan juga lebih cenderung kepada dakwaan dokumen tuntutan yang dikemukakan mengandungi butiran palsu melibatkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion, kata sumber itu.

Satu lagi fokus siasatan adalah untuk mengenal pasti unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009, tambah sumber itu.

Projek 1BestariNet dijangka siap dalam tempoh 15 tahun dalam tiga fasa.

Walau bagaimanapun, projek itu dibelenggu dengan isu-isu yang terdiri daripada aduan tentang ketersambungan yang perlahan selain percanggahan kewangan.

Nur Jazlan Mohamed, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2015, menyifatkan fasa pertama projek itu sebagai "gagal" memandangkan pelaksanaannya yang lemah.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2018 juga berkata program itu kurang daripada indeks prestasi utamanya, dan Kementerian Pendidikan gagal mempertimbangkan cadangan Makmal Pengurusan Nilai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS