Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mashitah, suami tak terlibat sindiket pemerdagangan manusia - IGP
Diterbitkan:  Sep 7, 2024 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Ketua Polis Negara Razarudin Husain hari ini berkata siasatan mendapati bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mashitah Ibrahim dan suaminya tidak terlibat dalam rangkaian pemerdagangan manusia yang berpangkalan di Myanmar.

Razarudin berkata semakan polis mendapati pelaburan luar negara oleh beberapa individu, termasuk Mashitah, tidak mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia.

“Ini berdasarkan analisis beberapa akaun bank yang mendedahkan dana di dalamnya adalah simpanan individu terbabit.

"Kami juga mengesahkan sebelum ini bahawa bekas timbalan menteri, suaminya dan tiga yang lain pergi ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah," kata Razarudin seperti dipetik The Star.

Secara keseluruhan, Razarudin berkata polis telah merekodkan keterangan daripada 11 individu, dan tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan terhadap Mashitah dan suaminya.

“Siasatan kami kini tertumpu kepada seorang Datuk Seri, yang disyaki menjadi orang penting dalam menarik pelabur berpotensi ke Myanmar.

“Kami juga sedang menyiasat kaitan beberapa individu termasuk dua ahli perniagaan dari China,” katanya.

Dilaporkan bahawa polis, sebagai sebahagian daripada siasatan kes pemerdagangan manusia, sedang menganalisis status kewangan beberapa syarikat, termasuk beberapa dokumen yang menamakan Mashitah dan suaminya.

Razarudin sebelum ini berkata polis telah merekodkan keterangan pasangan itu pada Julai lalu.

Mashitah juga telah menafikan dakwaan terhadapnya dan membuat laporan polis termasuk terhadap Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Selain siasatan polis, MHO telah membuat laporan SPRM terhadap Mashitah dan suaminya.

Gesaan MHO untuk penyiasatan berikutan penyiaran klip dari dokumentari YouTube Indonesia bertajuk "Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia", yang termasuk gambar Mashitah dengan sekumpulan individu yang didakwa ada kaitan dengan skim itu.

Dokumentari itu telah disiarkan sebulan lalu, mendapat hampir 90,000 tontonan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS