Harga minyak masak di Thailand yang mahal hingga mencecah RM8 sekilogram (kg) berbanding minyak masak bersubsidi Malaysia (RM2.50 kg) dipercayai menjadi punca kegiatan penyeludupan bahan itu masih berlarutan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata selain faktor harga, majoriti penduduk di Selatan Thailand khususnya Narathiwat yang beragama Islam juga lebih menyakini status halal minyak masak keluaran Malaysia.
“Minyak masak keluaran Thailand diperbuat daripada jagung dan harga lebih mahal berbanding minyak masak Malaysia yang diperbuat daripada kelapa sawit.
“Minyak masak keluaran Malaysia yang diseludup ke sana akan dijual dengan harga antara RM4.50 hingga RM5," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Ihsan Rahmah Madani dengan kerjasama ATH Group di Kota Bharu hari ini.
Turut hadir Pengarah Aggressive Transasia Group Holding, Norlisan Ramzai, yang turut menawarkan pakej pembinaan rumah pada harga Rahmah sebagai menyokong agenda kerajaan perpaduan bagi golongan berpendapatan rendah (B40).
Mengulas lanjut, Azman berkata kegiatan penyeludupan minyak masak di sempadan negara buat masa ini semakin berkurangan hasil kerjasama padu agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Polis Marin.
“Kini kami mendapati penyeludupan minyak masak hanyalah dalam skala kecil iaitu antara 10 hingga 15 kotak berbanding rampasan di dalam sebuah treler yang pernah direkodkan sebelum ini.
“KPDN bersama agensi-agensi lain akan terus melakukan oeprasi bersepadu dengan lebih hebat dalam mengekang ketirisan barangan kawalan bersubsidi ke negara jiran sekali gus merugikan negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata antara Jan hingga Ogos lalu KPDN Kelantan membuat sitaan barang kawalan bernilai RM451,378 meliputi petrol, diesel, gula dan minyak masak dengan tangkapan sebanyak 180 orang.
- Bernama